Skuad Malaysia bawah 23 tahun (B-23) gagal mengulangi kejayaan tempoh hari apabila tewas 1-2 ditangan China B-23 pada aksi Persahabatan Antarabangsa Tier 2 yang berlangsung di Jinshan Sports Centre Stadium, Shanghai sebentar tadi.

Perlawanan kedua ini menyaksikan Juan Torres Garrido mengekalkan Safwan Mazlan, Harith Haiqal Adam Afkar, Ahmad Zikri Mohd Khalili, Fergus Tierney dan Najmudin Akmal Kamal Akmal di kesebelasan utama.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Malaysia tersentak seawal minit kelima permainan setelah cubaan penjaga gol, Rahadiazli Rahalim untuk menumbuk keluar bola ketika situasi sepakan percuma yang diambil Tao Qianglong tidak berhasil.

Keadaan tersebut membolehkan pemain penyerang, Du Yuesheng menanduk masuk bola untuk meletakkan tuan rumah di hadapan.

China B-23 hampir menambah jaringan kedua pada minit ke-11 tetapi tandukan Liu Zhurun setelah terima umpanan Baihelamu Abuduiwaili diselamtkan Rahadiazli.

Seminit kemudian skuad negara pula mendapat peluang untuk mendapatkan jaringan, namun percubaan Muhammad Alif Izwan Yuslan dari luar kawasan penalti hanya sedikit melewati palang gol.

Sepakan percuma yang dilakukan oleh Alif Izwan pada minit ke-34 pula berjaya diselamatkan penjaga gol China, Yu Jinyong manakala percubaan susulan Najmudin pula gagal menemui sasaran diharapkan.

Alif Izwan menebus kehampaan itu seminit kemudian apabila mudah menolak masuk bola susulan percubaan awal Syahir Bashah yang terkena palang gol untuk kembali mengikat kedudukan.

Hanya selepas lima minit menyamakan kedudukan, Alif Izwan diperintahkan keluar padang berikutan kad kuning kedua yang diterimanya.

Kesempatan itu dgunakan sepenuhnya oleh China untuk memberikan tekanan kepada para pemain negara bagi menambah jaringan.

Usaha mereka membuahkan hasil pada masa kecederaan babak pertama selepas sepakan percuma ‘indirect’ yang diberikan disempurnakan oleh ketua pasukan, Qianglong walaupun Harith Haiqal cuba untuk mengeluarkan bola tersebut di atas garisan gol.

Permulaan babak kedua menyaksikan Malaysia B-23 mendapat peluang dalam kawasan penalti menerusi Harith Haiqal setelah menerima hantaran jauh Syahir, tetapi percubaannya diselamatkan Jinyong menggunakan kakinya.

Usaha kedua-dua pasukan bagi menambah jaringan dengan kehadiran beberapa pemain gantian juga tidak membuahkan hasil untuk keputusan 2-1 tersebut kekal hingga tamat permainan.