Sejak diperkenalkan pada tahun 1999, Piala Asia Futsal telah berkembang menjadi salah satu kejohanan paling berprestij dalam kalendar sukan lima sebelah tersebut di Asia.
Kejohanan yang julung kalinya diadakan di Stadium Negara, Kuala Lumpur itu bukan sekadar medan perebutan gelaran benua, tetapi juga sebagai platform melahirkan bakat-bakat futsal bertaraf dunia.
Sepanjang sejarahnya, trofi Piala Asia Futsal hanya pernah dijulang oleh dua pasukan iaitu Iran dan Jepun.

Dua kuasa besar yang sentiasa konsisten menunjukkan standard permainan tinggi dari satu edisi ke edisi seterusnya.
Dominasi ini bukan berlaku secara kebetulan. Ia hasil daripada pelaburan jangka panjang dalam pembangunan akar umbi, liga domestik yang kompetitif serta struktur kejurulatihan yang tersusun.
Dalam artikel ini, kita akan menyorot semula setiap edisi Piala Asia Futsal sejak penganjuran pertamanya. Bermula daripada juara sulung hinggalah kepada edisi 2024 di Bangkok, Thailand.
Senarai lengkap juara Piala Asia Futsal
1999 – Juara: Iran, Tuan Rumah (Kuala Lumpur)
Iran muncul juara sulung selepas membelasah Korea Selatan 9-1 pada aksi final.
Kazakhstan meraih tempat ketiga hasil kemenangan menerusi penentuan sepakan penalti 4-3 ke atas Jepun.
2000 – Juara: Iran, Tuan Rumah (Bangkok)
Edisi kedua ini merupakan pusingan kelayakan bagi Piala Dunia Futsal 2000 di Guatemala yang menyaksikan Iran muncul juara dengan menewaskan Kazakhstan 4-1.
Thailand pula menewaskan Jepun 8-6 untuk meraih tempat ketiga.
2001 – Juara: Iran, Tuan Rumah (Tehran)
Beraksi di laman sendiri, Iran dengan tenang membelasah Uzbekistan 9-0 untuk meraih kejuaraan hatrik. Vahid Shamsaei yang kini membimbing Iran telah meledakkan empat gol pada perlawanan tersebut.
Manakala, kedudukan ketiga menjadi milik Korea Selatan yang menewaskan Jepun 2-1.
2002 – Juara: Iran, Tuan Rumah (Jakarta)
Iran muncul juara dengan menewaskan Jepun 6-0 manakala Thailand di kedudukan ketiga hasil kemenangan 4-2 ke atas Korea Selatan.
Shamsaei terus meledak dengan 26 gol sepanjang Piala Asia Futsal 2002.
2003 – Juara: Iran, Tuan Rumah (Tehran & Karaj)
Selepas empat kejuaraan dimenangi dengan cukup selesa, Iran diberikan cabaran hebat oleh Jepun tetapi masih mampu menang dengan keputusan 6-4 dimana Shamsaei menjaringkan empat gol pada perlawanan akhir tersebut.
Thailand pula garang dengan membelasah Kuwait 8-2 untuk berada di kedudukan ketiga.
2004 – Juara: Iran, Tuan Rumah (Macau)
Iran sekali lagi bertemu Jepun di perlawanan akhir yang menyaksikan gergasi Asia Barat itu menang 5-3 dan Thailand pula menduduki tempat ketiga dengan menundukkan Uzbekistan 3-1.
Seperti biasa, Vahid Shamsaei semakin bernafsu dengan 33 gol dihasilkan sepanjang kejohanan.
2005 – Juara: Iran, Tuan Rumah (Ho Chi Minh)
Jodoh Iran dan Jepun berterusan buat kali keempat berturut-turut dimana jaringan minit awal oleh Shamsaei dan Mohsen Zareei menghadiahkan kejuaraan ketujuh buat pasukan mereka.
Uzbekistan pula meraih kedudukan ketiga.
2006 – Juara: Jepun, Tuan Rumah (Tashkent)
Percubaan kelima Jepun akhirnya membuahkan hasil selepas kejayaan membelasah Iran di separuh akhir dan kemudiannya menundukkan Uzbekistan juga dengan keputusan 5-1 untuk muncul juara buat pertama kali.
Iran berada di kedudukan ketiga selepas menewaskan Republik Krygyz 5-3.
2007 – Juara: Iran, Tuan Rumah (Osaka & Amagasaki)
Iran menebus kembali kekecewaan pada edisi 2006 dengan menewaskan Jepun 4-1 untuk meraih kejuaraan kelapan.
Uzbekistan menang ke atas Republik Krygyz 5-3 pada penentuan tempat ke-3/4.
2008 – Juara: Iran, Tuan Rumah (Bangkok)
Saingan yang turut menjadi kelayakan Piala Dunia Futsal 2008 di Brazil menyaksikan Iran menang 4-0 ke atas Thailand.
Thailand menjadi pasukan dari Asia Tenggara (ASEAN) pertama yang berjaya melangkah ke perlawanan akhir. Jepun pula menang ke atas China 5-3 untuk menduduki tempat ketiga.
Ini menjadi edisi terakhir saingan Piala Asia Futsal diadakan pada setiap tahun.
2010 – Juara: Iran, Tuan Rumah (Tashkent)
Iran menjulang trofi buat kali ke-10 dengan penuh bergaya selepas menewaskan Uzbekistan 8-3 manakala Jepun meraih tempat ketiga dengan menumpaskan China 6-1.
2012 – Juara: Jepun, Tuan Rumah (Dubai)
Kejutan berlaku dalam saingan yang merupakan kelayakan Piala Dunia Futsal 2012 di Bangkok selepas Thailand berjaya mengejutkan Iran di separuh akhir.
Kemenangan 5-4 itu membolehkan Thailand berhadapan dengan Jepun di final.
Namun, Jepun lebih garang untuk muncul juara buat kali kedua dengan kemenangan 6-1. Iran pula berada di tempat ketiga setelah menang ke atas Australia 4-0.
2014 – Juara: Jepun, Tuan Rumah (Ho Chi Minh)
Jepun muncul juara buat kali ketiga dan juga dua edisi berturut-turut selepas mengecewakan Iran menerusi penentuan sepakan penalti 3-0.
Bagi penentuan tempat ke-3/4, Uzbekistan menang ke atas Kuwait 2-1.
2016 – Juara: Iran, Tuan Rumah (Tashkent)
Selepas hampa pada dua edisi sebelum ini, Iran kembali tampil cemerlang dengan menang ke atas Uzbekistan 2-1 untuk kejuaraan ke-11.
Thailand juga cukup bertenaga menewaskan Vietnam 8-0 untuk menduduki tempat ketiga.
2018 – Juara: Iran, Tuan Rumah (Taipei)
Penguasaan Iran berterusan apabila berjaya menundukkan Jepun 4-0 pada perlawanan akhir dan Uzbekistan pula menewaskan Iraq untuk menghuni tempat ketiga.
2020 – Dibatalkan Kerana Covid-19

2022 – Juara: Jepun, Tuan Rumah (Kuwait City)
Harapan besar Iran untuk terus meraih kejuaraan Piala Asia Futsal dihalang Jepun selepas negara matahari terbit itu menang 3-2 dalam aksi yang cukup sengit.
Tempat ketiga menjadi milik Uzbekistan yang membelasah Thailand 8-2.
2024 – Juara: Iran, Tuan Rumah (Bangkok)
Iran mengesahkan kejuaraan ke-13 dalam Piala Asia Futsal dengan kemenangan 4-1 ke atas Thailand pada aksi yang berlangsung di Bangkok Futsal Arena, Nong Chok itu.
Uzbekistan sekali lagi meraih tempat ketiga hasil kemenangan menerusi sepakan penalti 3-1 ke atas Tajikistan.