Saingan All England 2024 akan bermula esok dengan 11 wakil negara bakal beradu kekuatan bagi bersaing memburu kejuaraan kejohanan berstatus Super 1000 itu.

Di samping menawarkan hadiah lumayan serta mata ranking yang besar, kejohanan ini juga seperti diketahui begitu sarat dengan sejarah penganjurannya.

Baca Juga:

Hal ini kerana All England merupakan pertandingan badminton tertua di dunia apabila mula dipertandingkan pada 1899.

Kali terakhir wakil Malaysia menjuarai kejohanan tersebut adalah pada 2021 menerusi Lee Zii Jia manakala bagi acara beregu lelaki menerusi gandingan Koo Kien Keat-Tan Booh Heong (2007).

Edisi ke-125 itu menyaksikan kem negara berdepan laluan sukar, tambahan pula dengan prestasi kurang meyakinkan ditampilkan mereka sejak akhir-akhir ini.

Lee Zii Jia yang menjadi wakil tunggal bagi acara perseorangan lelaki berikutan penarikan diri Ng Tze Yong akibat kecederaan akan berdepan wakil Jepun, Kodai Naraoka di pusingan pertama.

Walaupun rekod pertemuan kedua-dua pemain tidak memihak Zii Jia, Utilita Arena di Birmingham merupakan antara gelanggang kegemaran buatnya kerana selepas menjuarai saingan 2021, beliau mara ke separuh akhir pada 2022 dan 2023.

Tahun lalu, beliau turut berjaya menewaskan pemain ranking keenam dunia itu pada aksi suku akhir tetapi perjalannya terhenti di separuh akhir apabila tewas kepada Shi Yu Qi.

Sekiranya Zii Jia berjaya melepasi cabaran awal tersebut, beliau akan berhadapan pemenang antara Loh Kean Yew dan Angus Ng Ka Long.

Sandaran utama bagi acara beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan bertemu rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin pada pusingan pertama.

Pasangan yang menang pada perlawanan tersebut akan menentang di antara Chang Ko-Chi-Po Li-Wei (Chinese Taipei) atau wakil Kanada, Kevin Lee-Ty Alexander Lindeman.

Berikut merupakan senarai lengkap jadual perlawanan pusingan pertama melibatkan pemain negara di All England 2024:

1) Lee Zii Jia lawan Kodai Naraoka (Jepun)

2) Aaron Chia-Soh Wooi Yik lawan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin

3) Ong Yew Sin-Teo Ee Yi lawan Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi (China)

4) Man Wei Chong-Tee Kai Wun lawan Akira Koga-Taichi Saito (Jepun)

5) Goh Jin Wei lawan He Bing Jao (China)

6) Vivian Hoo-Lim Chiew Sien lawan Pearly Tan-M. Thinaah

7) Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie lawan Chang Ko-Chi-Lee Chih Chen (Chinese Taipei)

8) Tan Kian Meng-Lai Pei Jiang lawan Thom Gicquel-Delphine Delrue (Perancis)

9) Chen Tang Jie-Toh Ee Wei lawan Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai (Thailand)