Semua orang mengimpikan mahu memiliki kereta mewah di dalam kehidupannya. Namun, kita sering diingatkan untuk mengukur baju di badan sendiri kerana setiap orang mempunyai tahap kewangan yang berbeza.
Kereta-kereta di dalam pasaran berharga RM80,000 sudah dikira mewah dan memerlukan seseorang untuk mempunyai tingkat gaji yang tertentu sebelum boleh menguruskan komitmen bulanan dengan selesa.
Bagaimanapun, masih wujud segelintir individu yang kurang cakna perihal wang apabila masih mahu membeli kereta mewah meskipun hanya bergaji kecil.
Terbaharu, seorang pembantu jualan jenama Proton memperlihatkan satu tangkap layar WhatsApp di mana seorang individu bergaji RM1,100 mahu membeli kereta model X70.
Malah, pemuda itu seperti menekan pembantu jualan untuk membenarkan dia membeli kereta SUV mewah tersebut.
Wanita itu lantas memberitahu bahawa bulanan kereta X70 sahaja sudah mencecah RM1,200 jadi mana mungkin dia mampu membayar komitmen dengan gaji sebegitu.
Dalam pada itu, pembantu jualan itu turut mendedahkan bahawa ramai individu berusia sekitar 17 tahun hingga 21 tahun nak merasa kereta mewah seperti X50, Civic, Vios dan City.
Bila disarankan untuk mengambil Axia dan Saga kata tidak minat pula. Dia lalu mengatakan generasi sekarang mempunyai cabaran besar dalam pemilihan kereta kerana semua mahu nampak gah tetapi realitinya tidak mampu.
Hantaran wanita itu ternyata meraih perhatian netizen yang mana rata-ratanya hanya mampu geleng kepala dengan kehendak anak muda pada masa kini dalam pemilihan kereta. Mereka merasakan golongan muda banyak yang tidak berpijak di bumi nyata apabila mahu membeli kereta mewah dengan gaji yang kecil.
Malah, ramai yang mendedahkan bahawa tiada salahnya membeli kereta mampu milik seperti Axia atau Bezza walaupun sudah mempunyai gaji yang tinggi. Tidak kurangnya, ada yang berkongsi cerita adik beradik terdekat bergaji rendah tapi memohon pembelian kereta mewah seperti Alphard dan Vellfire.