Kegagalan melepasi peringkat kumpulan Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) tidak menghalang skuad badminton Malaysia untuk layak beraksi di Piala Sudirman 2025.

Ketika majoriti negara menurunkan barisan muda pada aksi BAMTC di Qingdao, senarai berbeza pasti akan dapat disaksikan dalam saingan Piala Sudirman dengan barisan terkuat.

Baca Juga:

Kejohanan berpasukan campuran paling berprestij yang bakal memasuki edisi ke-18 itu menyaksikan China muncul selaku pemenang terbanyak dengan 13 kejuaraan.

Manakala, empat kejuaraan dimenangi Korea Selatan dan Indonesia memenangi edisi pertama pada 1989 di Jakarta.

Sementara itu pencapaian terbaik buat Malaysia adalah mara keĀ  separuh akhir pada edisi 2009, 2021 dan 2023.

Edisi 2025 akan berlangsung di Xiamen, China pada 27 April hingga 4 Mei nanti menyaksikan 15 pasukan yang bakal beraksi sudah pun diketahui selepas kejohanan benua berlangsung sejak awal minggu tempoh hari.

Dapat disaksikan Australia dan Algeria mengesahkan tempat selaku juara benua masing-masing.

Denmark, England, Perancis, Jerman, Indonesia, Jepun serta Thailand pula layak sebaik sahaja mengesahkan kemaraan ke separuh akhir kejohanan Eropah dan Asia.

China layak selaku tuan rumah dan juara bertahan manakala Korea Selatan, Malaysia, Chinese Taipei, India dan Hong Kong pula atas kapasiti berada di kedudukan terbaik dalam senarai ranking dunia berpasukan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Hanya satu slot masih belum diisi iaitu bagi kejohanan Pan Amerika dimana Kanada, Guatemala, Brazil dan Amerika Syarikat akan beraksi di separuh akhir. Juara saingan di Mexico itu akan mengisi slot terakhir tersebut.

Senarai penuh pasukan yang layak ke Piala Sudirman 2025

1) China

2) Australia

3) Algeria

4) Indonesia

5) Jepun

6) Thailand

7) Denmark

8) England

9) Perancis

10) Jerman

11) Kanada

12) Korea Selatan

13) Malaysia

14) Chinese Taipei

15) India

16) Hong Kong