Malaysian Football League (MFL) sebentar tadi telah mengumumkan senarai lengkap 16 pasukan yang bakal beraksi dalam saingan Piala Malaysia 2025/26 nanti.

Selain 13 kelab dalam saingan Liga Super, sebanyak tiga lagi pasukan tambahan dari kempen Liga A1 Semi-Pro yang turut bakal bersaing iaitu Perak FA, UM-Damansara United dan Kelantan Red Warrior FC.

Meskipun Johor Darul Ta’zim (JDT) II dan Selangor FC II berada dalam kelompok tiga teratas Liga A1 Semi Pro, dua kelab itu tidak layak menyertai Piala Malaysia selaras dengan peraturan yang tidak membenarkan pasukan simpanan beraksi dalam pertandingan sama dengan kelab induk masing-masing.

Selain itu, Kedah FA dan Armed Forces FC memilih untuk tidak menyertai saingan Piala Malaysia bagi musim ini.

“Bagi proses undian, kelab yang menamatkan pusingan pertama Liga Super di kedudukan pertama hingga kelapan iaitu juara bertahan JDT, Kuching City FC, Selangor FC, Kuala Lumpur City FC, Terengganu FC, Negeri Sembilan FC, DPMM FC dan Sabah FC akan layak secara automatik ke pusingan 16 sebagai pasukan seeded.”

“Manakala lima kelab Liga Super di kedudukan kesembilan hingga ke-13 iaitu Imigresen FC, Kelantan The Real Warriors FC, Penang FC, Melaka FC dan PDRM FC akan diundi bersama tiga kelab Liga A1 Semi-Pro untuk menentukan pertemuan menentang pasukan ‘seeded’. Proses undian akan dijalankan secara terbuka,” ujar MFL dalam satu kenyataan dikeluarkan.

Menurut MFL lagi, perancangan awal perlawanan pusingan 16 Piala Malaysia 2025/26 dijangka bermula pada 17 Januari 2026, tertakluk kepada sebarang perubahan dengan perlawanan akhir dijangka akan berlangsung pada bulan Mei.

Pasukan yang gagal mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia akan meneruskan cabaran dalam saingan MFL Challenge Cup 2025–2026.

Senarai Lengkap Pasukan Dalam Piala Malaysia 2025/26

Piala Malaysia 2025/26
Kredit Foto: MFL
Sumber