Perak mencipta kejutan dalam aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia 2025/26 selepas menundukkan KL City FC 2-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Manjung sebentar tadi.

Berdepan lawan yang merupakan pasukan tangga ketiga Liga Super langsung tidak merentap semangat juang anak-anak buah Syamsul Mohd Saad untuk mempamerkan karakter sebenar mereka.

Penyokong Perak melonjak kegembiraan seawal minit ke-11 apabila Ahmad Daniel Hakimi Ahmad Azmil tidak melepaskan peluang membuka tirai jaringan.

Jaringan itu berpunca daripada hantaran jauh Kamal Arif Azrai tidak dapat dibaca pertahanan KL City yang membolehkan Ahmad Daniel Hakimi meluru ke depan untuk menewaskan penjaga gol, Quincy Julian Kammerad.

Tersentak dengan gol awal tersebut, KL City memperkemaskan aksi untuk mendapatkan jaringan penyamaan. Namun penjaga gol Perak, Ahmad Syazwan Syazany Ahmad Shafei tangkas dalam memastikan gawangnya tidak dibolosi.

Ahmad Syazwan cemerlang menafikan tandukan serta percubaan susulan daripada peledak berbisa, Kpah Sherman dan turut menggagalkan percubaan padu Zhafri Yahya dalam kawasan penalti.

Skuad muda Yob kemudiannya memberikan tekanan sebaik sahaja permulaan babak kedua dengan dua serangan pantas yang mengancam kubu KL City.

Usaha untuk menambah jaringan membuahkan hasil pada minit ke-54 selepas sepakan percuma diambil Ahmad Daniel ditanduk masuk pemain pertahanan, Fadhil Azmi untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Pengendali KL City, Risto Vidakovic memasukkan Paulo Josue, Enzo Gonzalo Cora dan Declan Lambert dalam usaha untuk merapatkan defisit jaringan, namun jentera pertahanan Perak dan Ahmad Syazwan Syazany kental bertahan untuk memastikan kemenangan memihak tuan rumah.

Kedua-dua pasukan akan bertemu pada aksi kedua di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras yang dijadualkan berlangsung 25 Januari jam 5.00 petang.