Kisah penuh drama penantian selama 18 tahun Perak untuk menjulang kembali trofi Piala Malaysia kini diabadikan dalam bentuk karya fizikal menerusi pelancaran buku sukan indie bertajuk “KEJOR: 120 Minit Gila Di Shah Alam”.

Karya penulisan sulung oleh Meor Abdullah Syamim, seorang pengamal media sukan tempatan dan anak jati Chemor, dilancarkan secara rasmi petang semalam dalam satu majlis eksklusif bertempat di TwentyOne.cafe, Meru.

KEJOR: Kisah Final Piala Malaysia 2018 Penuh Drama Kini Dibukukan
Nazirul Naim bersama Meor Abdullah Syamim

Lebih menarik, kafe tersebut adalah kepunyaan salah seorang wira skuad Perak dalam kejayaan di Stadium Shah Alam itu, Nazirul Naim Che Hashim.

Nazirul yang kini sudah bersara daripada kancah bola sepak profesional turut diberikan penghormatan sebagai tetamu khas pada majlis tersebut.

Buku ini membawakan kronologi terperinci, sorotan emosi belakang tabir, serta debaran kemuncak perlawanan Akhir Piala Malaysia 2018 yang menyaksikan skuad The Bos Gaurus bangkit dalam drama penuh kegilaan menentang Terengganu FC.

KEJOR: Kisah Final Piala Malaysia 2018 Penuh Drama Kini Dibukukan

Melalui naskhah KEJOR ini, pembaca dibawa mengimbau kembali setiap peluh, air mata, dan sorakan ribuan penyokong setia yang menggegarkan Stadium Shah Alam pada malam penuh bersejarah tersebut.

KEJOR Bakal Jadi Rujukan Generasi Akan Datang

Menurut penulis, Meor Abdullah Syamim, naskhah indie ini diterbitkan khusus demi memastikan legasi dan momen keramat bola sepak negeri Perak tidak ditelan zaman, sekali gus menjadi rujukan generasi penyokong akan datang.

Projek penulisan ini juga mendapat sentuhan kerjasama erat daripada barisan bekas pemain dan komuniti sukan bagi memastikan setiap fakta yang direkodkan adalah tulen serta mempunyai nilai sentimental yang tinggi.

KEJOR: Kisah Final Piala Malaysia 2018 Penuh Drama Kini Dibukukan
Antara tetamu yang hadir memeriahkan majlis pelancaran KEJOR

Dalam ucapannya, Nazirul Naim turut meluahkan rasa terharu di atas usaha penghasilkan buku ini. Beliau melihat keringat barisan pemain pada ketika itu amat dihargai hingga terciptalah naskhah buat detik bersejarah itu.

Pelaksanaan majlis pelancaran dan penerbitan KEJOR turut dijayakan melalui jalinan kerjasama dengan beberapa entiti tempatan yang bertindak sebagai rakan strategik dan penaja rasmi, antaranya AFX Jersey, Minyak Afiat dan Caien Transport Pangkor yang memberikan sokongan penuh dalam menjayakan majlis pelancaran ini, serta Jingga Print sebagai Rakan Strategik Percetakan.