Teka-teki mengenai destinasi baharu Wan Zack Haikal Wan Noor terjawab selepas Perak FA mengumumkan kehadiran pemain sayap berpengalaman itu sebentar tadi.

Tiga musim bersama Perak FC, Wan Zack kemudiannya berhijrah ke Penang bagi menghadapi kempen Liga Super 2025/26 selepas skuad Yob terpaksa ditutup ekoran masalah tunggakan gaji pada musim lalu.

Wan Zack Haikal Kembali Ke Ipoh, Perkuat Perak FA Hadapi Baki Musim 2025/26
Kredit Foto: Perak FA

Jodoh pemain kelahiran Maran itu bersama Penang bagaimanapun tidak bertahan lama memaksa Wan Zack mencari haluan baharu dalam meneruskan kariernya.

Ternyata Ipoh kembali menjadi destinasi pilihan buat Wan Zack Haikal untuk membantu Perak FA dalam menghadapi baki saingan Liga A1 Semi Pro dan Piala Cabaran 2025/26.

Pengalaman Wan Zack Ditagih Perak FA

Kehadiran beliau dilihat bukan sahaja memberi nilai tambah kepada pasukan kendalian Syamsul Mohd Saad itu terutamanya di bahagian sayap.

Malah, sifat kepimpinan tinggi dimiliki bekas pemain skuad kebangsaan itu pastinya dapat membantu skuad yang majoritinya dibarisan pemain dibawah usia 25 tahun.

Wan Zack Haikal Kembali Ke Ipoh, Perkuat Perak FA Hadapi Baki Musim 2025/26
Kredit Foto: Perak FA

Meskipun dibarisi pemain muda, Perak mampu menyajikan aksi bertenaga serta berdisiplin sepanjang musim ini,

Selepas mengharungi 17 perlawanan liga, Perak menghuni tangga keenam dengan mengumpul 31 mata hasil lapan kemenangan, tujuh keputusan seri dan dua kekalahan.

Selepas tewas kepada Kuala Lumpur City pada aksi pusingan 16 Piala Malaysia tempoh hari, Perak akan berhadapan dengan UM-Damansara United dalam suku akhir Piala Cabaran.