Ketua jurulatih pasukan Malaysia, Pau Marti Vicente telah memanggil seramai 26 pemain bagi membawa cabaran negara untuk beraksi dalam saingan Piala AFF 2024 yang akan berlangsung dari 8 Disember 2024 hingga 5 Januari 2025.
Dalam satu kenyataan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), skuad kali ini menampilkan gabungan seimbang pemain berpengalaman dan muda iaitu dengan lapan pemain berusia 23 tahun ke bawah. Purata umur skuad ialah 25.9 tahun.
Baca Juga:
- Shin Tae-yong Umum Skuad Indonesia Hadapi Piala AFF 2024
- ‘Main Bola Ke Karate’ – Aksi Liga Amatur Dicemari Kekasaran Melampau
- Ini Sebab RTM Tidak Siarkan Saingan Piala AFF 2024
Seramai 12 pemain dari skuad 26 pemain bagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang Laos dan India pada 14 dan 18 November lalu akan mengetuai skuad kali ini yang menampilkan pemain muda berpotensi antaranya Haqimi Azim Rosli, Fergus Tierney, Najmudin Akmal Kamal Akmal, Daryl Sham George dan Muhammad Abu Khalil. Skuad ini turut menampilkan muka baharu lain seperti Danial Amier Norhisham, Jimmy Raymond dan Harith Samsuri.

Kejohanan ini memberi peluang yang baik untuk meluaskan kumpulan pemain yang layak menyertai skuad Harimau Malaya, terutamanya dengan tujuan ke arah penglibatan mereka di pentas antarabangsa pada masa akan datang, termasuk Kelayakan Piala Asia 2027 bermula Mac tahun depan.
Bagaimanapun, senarai 26 pemain ini masih boleh diubah sebelum pendaftaran akhir 26 pemain untuk kejohanan ini yang perlu dimuktamadkan pada 7 Disember 2024, iaitu sehari sebelum perlawanan pertama.
Jika terdapat perubahan dalam senarai asal di atas kerana terdapat masalah kecederaan atau sebab-sebab lain, ia boleh digantikan dengan mana-mana pemain lain dalam senarai pendaftaran awal 50 pemain yang telah didaftarkan ke Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) sebelum ini untuk pendaftaran akhir pada 7 Disember 2024.
Saingan Piala 2024 akan meyaksikan Malaysia bersaing dalam Kumpulan A bersama-sama juara bertahan, Thailand, Singapura, Kemboja dan Timor-Leste.
Kumpulan B menampilkan naib juara edisi terdahulu, Vietnam, Indonesia, Filipina, Myanmar dan Laos. Dua pasukan teratas setiap kumpulan ke separuh akhir.
Skuad Harimau Malaya dijadual melapor diri di Kelana Jaya, Selangor pada Khamis, 5 Disember 2024 sebelum berlepas ke Phnom Penh, Kemboja pada Jumaat, 6 Disember 2024 bagi menghadapi perlawanan pertama Kumpulan A menentang Kemboja di Stadium Olimpik, Phnom Penh pada Ahad, 8 Disember 2024.
Mereka seterusnya akan terbang pulang ke tanah air untuk perlawanan kedua menentang Timor-Leste di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Rabu, 11 Disember 2024 dan kemudian terbang pula ke Bangkok, Thailand bagi perlawanan ketiga menentang Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok pada Sabtu, 14 Disember 2024.
Jadual penuh perlawanan Kumpulan A membabitkan pasukan Malaysia adalah seperti berikut:
Ahad, 8 Disember 2024: Kemboja lwn Malaysia di Stadium Olimpik, Phnom Penh
Rabu, 11 Disember 2024: Malaysia lwn Timor-Leste di Stadium Nasional, Bukit Jalil
Sabtu, 14 Disember 2024: Thailand lwn Malaysia di Stadium Rajamangala, Bangkok
Jumaat, 20 Disember 2024: Malaysia lwn Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil