Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) tidak main-main mengenai hasrat mereka untuk menggunakan pemain warisan dimana skuad Indonesia B-20 Tahun turut mendapat sentuhan pemain diaspora bagi menghadapi kejohanan antarabangsa.

Skuad bimbingan Indra Sjafri itu mengambil bahagian dalam kejohanan peringkat akar umbi iaitu Tournoi Maurice Revello 2024 yang berlangsung di Perancis dan mereka berada dalam kumpulan B bersama Ukraine B-20, Itali B-20, Panama B-20 dan pasukan Jepun B-20.

Baca Juga:

Antara pemain warisan yang dibawa bagi membawa cabaran pasukan itu ialah Welber Jardim yang merupakan kacukan Indonesia-Brazil yang beraksi di posisi pertahanan. Selain itu, Garuda Muda turut diperkuatkan Dion Markx dan Tim Geypens (Indonesia-Belanda) serta Meshaal Hamzah (Sudan-Indonesia).

Di posisi tengah, Indra memanggil pemain seperti Sem Yvel, pemain kacukan Belanda-Indonesia dan juga Ji Da Bin yang merupakan kacukan Indonesia-Korea Selatan.

Di posisi serangan, ada dua pemain kacukan Belanda-Indonesia yang dibawa ke Perancis iaitu Jens Raven dan Mauresmo Hinoke.

Dari lapan pemain yang dipanggil, PSSI hanya menguruskan proses Jens Raven bagi membolehkan beliau untuk mendapat kerakyatan Indonesia sekaligus boleh beraksi bersama skuad senior.

Bagi tujuh pemain lain, badan bola sepak negara jiran itu mahu membuat penilaian terlebih dahulu sama ada mereka mempunyai kualiti yang diperkukan untuk diserapkan ke skuad senior.

Pendedahan awal bersama skuad Indonesia B-20 Tahun ini merupakan salah satu langkah bagi memastikan ketua jurulatih, Shin Tae-yong memiliki pilihan yang lebih banyak sekiranya beliau mahu menggunakan khidmat pemain naturalisasi pada masa akan datang.

Baru-baru ini, penyerang yang beraksi di Liga Belanda bersama NEC Nijmegen iaitu Calvin Verdonk sudah melengkapkan proses naturalisasi sekaligus dibenarkan untuk beraksi menentang Filipina dalam aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Indonesia terlebih dahulu turun beraksi menentang Iraq di Stadium Gelora Bung Karno pada 6 Jun.