Sejak sedekad lalu, ramai tenaga kejurulatihan badminton Malaysia telah melangkah keluar dari sempadan negara untuk mencurah bakti di peringkat antarabangsa.

Berbekalkan pengalaman luas di dalam sistem pembangunan tempatan serta pendedahan sebagai bekas pemain kebangsaan, kehadiran mereka amat dihargai oleh negara-negara yang sedang giat membina kekuatan dalam sukan ini.

Baca Juga:

Trend ini tidak menunjukkan tanda-tanda akan surut malah, tahun 2025 menyaksikan lebih ramai jurulatih tempatan diberi kepercayaan untuk membimbing pasukan luar termasuk dari benua Asia, Eropah hingga ke Timur Tengah.

Ada yang menjadi tulang belakang skuad senior kebangsaan, ada pula yang fokus kepada pembangunan pemain remaja dan pelapis.

Artikel ini merupakan kemas kini kepada senarai yang pernah kami terbitkan pada November 2024, dengan menyenaraikan jurulatih badminton Malaysia yang kini masih aktif menyumbang kepakaran mereka di luar negara pada tahun 2025. .

Ada wajah lama yang terus kekal, dan tidak kurang juga nama baharu yang mula mencuri perhatian di pentas antarabangsa atau sudah bertukar pasukan.

Mari kita kenali barisan jurulatih yang dimaksudkan!

Jurulatih Badminton Malaysia Di Luar Negara

1) Wong Choon Hann – Hong Kong

Choon Hann yang meninggalkan kem badminton Malaysia telah menyertai skuad kebangsaan Hong Kong pada 4 Julai 2023. Beliau pada mulanya dilantik bagi menggantikan rakan senegara, Wong Tat Meng yang memilih untuk bersama Lee Zii Jia.

1 Oktober 2024 menyaksikan Choon Hann memikul tanggungjawab lebih besar selaku ketua jurulatih sektor perseorangan negara tersebut.

2) Tan Bin Shen – Hong Kong

Bin Shen memainkan peranan penting kepada kekuatan Aaron Chia-Soh Wooi Yik hingga berjaya menjuarai Kejohanan Dunia serta dua edisi berturut-turut membawa pulang pingat gangsa Sukan Olimpik meninggalkan kem badminton Malaysia sebaik sahaja tamat Terbuka Malaysia 2025.

Beliau memilih Hong Kong sebagai destinasi baharu buat kariernyer dan dilihat turut berada di kerusi jurulatih bersama Choon Han ketika pasangan Tang Chun Man-Tse Ying Suet menjuarai acara beregu campuran Kejohanan Badminton Asia 2025 tempoh hari.

3) Jeremy Gan – Hong Kong 

Sebaik sahaja meninggalkan kem badminton Malaysia, Jeremy bersama Jepun sejak Januari 2018 hingga menjadikan Jepun sebagai antara kuasa besar dalam acara beregu campuran terutamanya menerusi Yuta Watanabe-Arisa Higashino.

Beliau kemudiannya mengambil keputusan untuk menyertai Choon Han dan Bin Shen di skuad kebangsaan Hong Kong pada Januari 2025.

4) Loh Wei Sheng – Hong Kong 

Jurulatih muda yang pernah bertindak selaku jurulatih perseorangan wanita Malaysia dan penolong jurulatih perseorangan Singapura ini turut berkelana ke Hong Kong.

Wei Sheng kini memegang tanggungjawab lebih besar dalam membimbing skuad perseorangan lelaki Hong Kong.

5) Tan Kim Her – India 

Kim Her mempunyai reputasi yang cukup besar di peringkat antarabangsa apabila pernah membimbing skuad kebangsaan England, Korea Selatan, India dan Jepun.

Selepas hampir empat tahun bersama Jepun, beliau kembali bersama skuad kebangsaan India dalam usaha memantapkan lagi kemampuan pasangan utama, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.

Kim Her telah menandatangani kontrak bersama India sehingga Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.

6) Lee Wan Wah – Jepun 

Terbang ke Jepun bermula 2019, Wan Wah memulakan tugasannya bersama skuad remaja Jepun.

Setahun kemudian, beliau dinaikkan pangkat sebagai jurulatih beregu campuran pasukan B Jepun dan pada 2023, Wan Wah membimbing sektor beregu lelaki pasukan B.

November 2024 pula menyaksikan beliau dinaikkan pangkat ke skuad senior dan pemergian Tan Kim Her ke India menyaksikan tugasan lebih berat digalas Wan Wah selaku ketua jurulatih sektor beregu lelaki.

7) Iskandar Zulkarnain Zainuddin – Ireland

Bekas pemain skuad badminton Malaysia itu memulakan tugasannya selaku jurulatih perseorangan badminton Ireland pada Mac 2022.

Bermula sebagai rakan ‘sparring’ kepada pemain perseorangan nombor satu Ireland, Nhat Nguyen, Iskandar kemudiannya bersara pada usia 31 tahun dan ‘terjun’ ke bidang kejurulatihan di sana.

8) Salim Samion – Skuad Remaja Thailand

Salim nyata cukup kaya dengan pengalaman di luar negara dan kini bertanggungjawab dalam mencungkil bakat muda dalam skuad kebangsaan Thailand.

Beliau mula berkelana ke luar negara sejak tahun 2000 dan antara negara pernah mendapat sentuhannya ialah skuad remaja Finland (2000 hingga 2004), skuad remaja Denmark (2005 hingga 2010).

Selain itu, beliau turut pernah membimbing skuad badminton Norway dan Ukraine.

9) James Chua – Republik Czech

James Chua yang sebelum ini pernah membimbing pemain perseorangan lelaki (2023) dan wanita (2022) Malaysia telah meletakkan jawatan pada 21 September 2024 untuk bergelar ketua jurulatih skuad badminton Republik Czech bermula 1 Oktober 2024.

10) Vountus Indra Mawan Saniru – Australia

Beliau dilantik sebagai penolong jurulatih skuad badminton Australia pada Februari 2023 dan dalam masa sama bergelar ketua jurulatih pasukan badminton Victoria.

Bersara sebagai pemain pada usia 28 tahun, Vountus Indra Mawan kemudiannya terus dilantik sebagai jurulatih beregu lelaki Malaysia bagi menggantikan Jeremy Gan pada Oktober 2017.

Jurulatih badminton Malaysia di peringkat kelab luar negara

Bekas jurulatih beregu wanita negara, Chin Eei Hui kini membimbing sebuah kelab yang berpangkalan di Auckland, New Zealand iaitu North Harbour Badminton Club.

Beliau tanpa berselindung amat gembira di sana dan tidak merancang untuk pulang ke tanah air dalam tempoh masa terdekat.

Seorang lagi bekas jurulatih negara yang berkelana ke luar negara ialah Hafiz Hashim dimana beliau pada ketika ini membimbing Suchitra Badminton Academy di Hyderabad, India.

Manakala tempoh hari, Koo Kien Keat telah menjadi jurulatih jemputan buat skuad kebangsaan England selama sebulan dalam menghadapi All England 2025.

Mungkin ada lagi jurulatih badminton dari Malaysia yang berada di luar negara tetapi di luar pengetahuan penulis, ayuh kongsikan di ruangan komen!