Seorang penganggur didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku bersalah sengaja menceroboh rumah pelakon dan pengacara Ahmad Nabil Ahmad atau lebih dikenali Nabil Ahmad.

Memetik laporan Berita Harian, tertuduh Fadzril Aqmal Abdul Anif, 31 dari Rembau, mengaku salah melakukan perbuatan itu sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Majistret, Kartini Kasran.

Baca Juga:

Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada jam 7.50 malam, 4 Januari 2022 bertempat di Kampung Senama Tengah, Rembau.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 442 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

Majistret turut memerintahkan lelaki itu dipenjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh masuk ke dalam rumah berkenaan secara menolak pintu dengan kuat, selain makan, berehat dan tidur di dalam rumah berkenaan.

Sebaik dimaklumkan rumah berkenaan diceroboh, adik kepada Nabil Ahmad yang ditugaskan menjaga kediaman itu bergegas memeriksa kediaman itu sebelum dan mendapati kejadian itu adalah benar.

Pemeriksaan menjumpai sehelai baju t-shirt, tiga helai seluar tracksuit dan sepasang kasut dan di dalam poket track suit turut ditemui MyKad milik tertuduh.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Sumber