Memang tidak dinafikan, persekitaran kerja yang toksik boleh memberikan stres dan trauma yang mendalam terhadap seseorang.
Seorang pengguna Facebook dengan nama YS Tay telah membuat satu pendedahan mengejutkan tentang permergian mendiang kakaknya yang juga bergelar petugas kesihatan di Hospital Lahad Datu, Sabah.
Nama gerangan, Dr. Tay Tien Yaa merupakan Ketua Unit Patologi Kimia di Jabatan Patologi yang baru sahaja bertugas di hospital terbabit selama enam bulan bermula 19 Februari tahun ini.
Difahamkan mendiang sorang yang cukup berdedikasi dan sedia memberi khidmat bakti kepada masyarakat.
Walaupun hanya bertugas dalam masa singkat, beliau berusaha untuk meningkatkan perkhidmatan perubatan di hospital tersebut termasuklah berjaya memperolehi sumbangan sebuah komputer menerusi Persatuan Perdagangan Cina Lahad Datu.
Namun di sebalik kegigihan insan hebat ini, pada 29 Ogos lalu pihak keluarganya tiba-tiba dikejutkan dengan berita yang cukup menyedihkan.
Ini berhubung pihak Hospital Lahad Datu memaklumkan Dr. Tay telah menamatkan riwayat sendiri dan ditemui di rumah sewanya. Berdasarkan maklumat yang dikongsikan rakan sekerja, Dr. Tay dikatakan berdepan tekanan dan penindasan yang teruk daripada ketua jabatannya sendiri.
Walaupun mempamerkan etika kerja yang bagus di dalam sepanjang perkhidmatannya, mendiang dipercayai turut diberikan bebanan kerjaya yang terlampau banyak merangkumi aspek penyediaan laporan, menguruskan sumber manusia dan kewangan, menghadiri mesyuarat dan sebagainya.
Malah, Ys Tay mendedahkan bahawa individu terbabit baru sahaja dilantik sebagai ketua jabatan di hospital itu. Mungkin kerana berasa dirinya cukup besar, individu terbabit dilihat menyalah gunakan kuasa yang diberikan dan lebih teruk lagi sehingga berlaku penindasan terhadap orang bawahan.
Menurut YS Tay, kakaknya baru sahaja mendirikan rumah tangga pada September lalu tetapi masih sanggup mengutamakan tugasan dengan menjalani perhubungan jarak jauh (PJJ) dengan suaminya.
Beliau berpegang kepada janji pihak pengurusan bahawa dia akan dipindahkan kembali ke Semenanjung selepas dua tahun perkhidmatan untuk bersamaan dengan suaminya. Namun, hasratnya itu tidak kesampaian apabila hayatnya sudah menemui titik noktah.
Dalam pada itu, adik mendiang turut mendedahkan masalah-masalah seperti tekanan di tempat kerja dan buli dalam kalangan petugas perubatan adalah perkara yang serius dan sering berlaku.
Kehilangan kakaknya dianggap bukan sekadar satu tragedi peribadi tetapi juga satu refleksi terhadap sistem kesihatan kita yang sedia ada.
Perkongsian yang cukup menyayat hati ini sememangnya mengundang rasa hiba netizen dan ramai mahu perkara ini bawa ke muka pengadilan kerana tindakan luar kawalan Ketua Jabatan telah mendorong seseorang yang tidak berdosa untuk menamatkan riwayatnya.