Lebih separuh daripada rakyat Malaysia risau tentang produk dan perkhidmatan yang menggunakan kecerdasan buatan (AI), lapor Malay Mail memetik kajian yang dilakukan oleh penganalisis pasaran Ipsos.

Walau bagaimanapun, tinjauan itu juga menunjukkan bahawa kebanyakan rakyat Malaysia bersikap positif mengenai faedah AI di tempat kerja.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

“Rakyat Malaysia, seperti negara lain di Asia, mempunyai sikap positif terhadap AI dan produk serta perkhidmatan yang berkaitan. Penduduk yang lebih muda dengan keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan teknologi terkini dan peranan teknologi yang dimainkan dalam meningkatkan kualiti hidup di negara membangun mungkin menyumbang kepada pandangan ini.

“Bagaimanapun, AI memang membuatkan sesetengah rakyat Malaysia risau, terutamanya dengan kemungkinan AI mengubah sifat pekerjaan atau menggantikan pekerjaan semasa. Oleh itu keterujaan umum tentang AI diseimbangkan dengan kerisauan tentang perubahan asas yang mungkin dibawa oleh AI kepada kehidupan seharian di Malaysia, ” kata Azamat Ababakirov, pengurus penyelidikan kanan di bahagian hal ehwal awamnya dalam satu kenyataan yang disertakan.

Tinjauan itu menunjukkan 55 peratus responden dari Malaysia risau memgenai kewujudan AI berbanding 52 peratus secara purata di seluruh dunia, manakala 62 peratus responden Malaysia merasakan mereka akan digantikan oleh AI berbanding hanya 36 peratus di seluruh dunia.

Selain itu, lapan daripada 10 — pada 81 peratus — responden Malaysia merasakan AI akan mengubah cara mereka melakukan tugas, berbanding 57 peratus di seluruh dunia.

Mengikut trend purata Asia Tenggara, 69 peratus rakyat Malaysia berkata produk dan perkhidmatan yang menggunakan AI mempunyai lebih banyak faedah daripada kelemahan, berbanding 54 peratus di seluruh dunia.

Begitu juga, 78 peratus rakyat Malaysia percaya AI akan mengubah secara mendalam kehidupan harian mereka dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Ipsos berkata tinjauan itu melibatkan 22,816 orang dewasa di bawah umur 75 tahun di 31 negara. Temu bual dilakukan secara dalam talian antara 26 Mei dan 9 Jun tahun ini.