Penyerang versatile Sri Pahang, Sergio Aguero menegaskan beliau sentiasa bersedia apabila diperlukan untuk beraksi bersama skuad kebangsaan.
Aguero kembali dipanggil untuk menyertai skuad Harimau Malaya bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan menentang Laso di Stadium PAT, Thailand dan India di Hyderabad pada perlawanan jendela FIFA kali ini.
Baca Juga:
- Natxo Insa Dipanggil Sertai Skuad Kebangsaan
- Romel Morales Tidak Dapat Sertai Skuad Harimau Malaya
- FAM Akan Ambil Tindakan Insiden Arif Aiman Dan Tommy Mawat
Pemain berusia 30 tahun itu nyata gembira apabila dipanggil dan menyasarkan untuk mencatat kemenangan dalam dua perlawanan yang dihadapi bulan ini.
“Kita mencuba kaedah baharu di bawah bimbingan Pau Marti dan memberikan apa yang diminta oleh beliau.
“Saya bukan sahaja seorang penyerang, saya juga boleh beraksi di bahagian tengah. Sesi latihan lebih kurang sama dengan sebelum ini kerana Marti merupakan pembantu kepada Kim Pan-gon.
“Jurulatih lebih tertarik saya beraksi di bahagian tengah. Kami baru menghadapi dua sesi latihan. Kita lihat bagaimana nanti,” katanya menurut laporan NST.
Dalam skuad kali ini, Pau Marti memanggil tiga penyerang iaitu Syafiq Ahmad, Fergus Tierney yang menggantikan Romel Morales selepas menarik diri kerana mengalami kecederaan dan Sergio Aguero.
Selepas aksi bertemu Laos pada Khamis, 14 November, skuad Harimau Malaya akan terus terbang dari Bangkok ke Hyderabad untuk perlawanan menentang India pada Isnin, 18 November 2024, sebelum pulang ke tanah air.
Dalam perlawanan sebelum ini, Malaysia tewas dengan keputusan 4-0 kepada New Zealand pada aksi persahabatan Tier 1 yang berlangsung di Stadium North Harbour, Auckland.
Jaringan yang dihasilkan oleh Eliah Just, Matthew Garbett, penyerang Nottingham Forest iaitu Chris Wood dan Logan Rogerson yang diberikan ruang luas oleh pemain pertahanan Malaysia meledakkan percubaan daripada luar kawasan penalti pada masa kecederaan untuk mengesahkan kemenangan empat gol tanpa balas buat New Zealand.