Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Pau Marti menegaskan keputusan seri 1-1 ketika menentang India dalam satu aksi persahabatan antarabangsa baru-baru ini adalah satu keputusan yang adil.

Menurutnya, beliau gembira dengan prestasi yang ditampilkan oleh pemain namun kecewa kerana hanya mampu mencatatkan keputusan seri.

Baca Juga:

Aksi menentang India merupakan perlawanan pemanas badan sebelum Malaysia beraksi dalam saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2024 yang akan bermula Disember nanti.

“Saya rasa permainan agak ketat. Pada separuh masa pertama, kami sedikit bergelut untuk mencari cara permainan tetapi kami menunjukkan peningkatan pada separuh masa kedua.

“Secara keseluruhan, saya fikir keputusan itu agak adil tetapi, kami terlepas beberapa peluang pada penghujung perlawanan. Saya rasa kami agak kecewa tentang itu tetapi kami gembira dengan permainan ini.

“Menentang pasukan seperti India, ini keputusan yang baik. Sudah tentu, kami mahu memenangi setiap perlawanan tetapi keputusan ini menunjukkan kami boleh bersaing di peringkat ini. Mungkin, pada hari lain, dengan sedikit nasib dan ketepatan, kami boleh menang,” kata Pau Marti pada sidang media selepas perlawanan.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Gachibowli, Hyderabad malam tadi, kesilapan penjaga gol India, Gurpreet Singh Sandhu dihukum Paulo Josue untuk memisahkan kedua-dua pasukan pada minit ke-19.

Berpunca daripada hantaran jauh Azam Azmi Murad ke arah pintu gol India tidak dapat dibaca dengan baik Gurpreet ketika beliau sudah keluar jauh daripada posisinya memberikan ruang buat Josue untuk mudah menolak masuk gol pertama Malaysia.

Tersentak dengan gol tersebut, India memperkemaskan aksi untuk kembali menyamakan kedudukan dan usaha anak buah Manolo Marquez itu membuahkan hasil pada minit ke-39.

Gol itu terhasil berpunca daripada sepakan penjuru Brandon Fernandes yang berjaya ditanduk bek kanan, Rahul Bheke untuk menceriakan penyokong tuan rumah.

Skuad negara hampir mendapatkan jaringan kemenangan pada masa kecederaan tetapi tandukan Fergus Tierney hanya singgah di tiang gol manakala percubaan susulan Safawi pula melewati palang gol.

Kedudukan 1-1 itu kekal hingga tamat permainan untuk skuad negara menutup aksi pada ‘FIFA Day’ kali ini tanpa kekalahan dimana sebelum ini mereka menundukkan Laos 3-1.