Sekiranya anda mengikuti perkembangan media sosial, pastinya anda cukup kenal dengan pasangan pendakwah bebas yang semakin menjadi sebutan netizen pada ketika ini iaitu Ustazah Siti Afifah Shahbudin dan suaminya.

Menyatakan mengambil ubat tahan sakit adalah haram serta jatuh dayus buat lelaki yang membiarkan doktor lelaki menyambut bayi isteri antara yang membuatkan pasangan ini menjadi perhatian.

Baca Juga:

Malah, pasangan ini baru-baru ini turut sedia memfailkan saman terhadap Ustaz Azhar Idrus selepas Ustaz Azhar Idrus mematahkan hujah pasangan ini berkenaan hukum membiarkan bayi disambut doktor lelaki.

Melihat kepada pendekatan ekstrem yang dilakukan pasangan ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tampil untuk menasihatkan pasangan ini agar menggunakan pendekatan yang sesuai dan berhikmah dalam menyampaikan dakwah.

Menurut Harian Metro, JAKIM memaklumkan pihaknya mengambil maklum berkaitan video tular di media sosial yang memaparkan sepasang penceramah suami isteri yang sering mengeluarkan kenyataan kontroversi termasuk mengancam akan mengambil tindakan undang-undang terhadap agamawan tertentu.

“JAKIM dan pihak berkuasa agama negeri sentiasa membuat pemantauan kandungan berkaitan hal ehwal agama Islam yang dipaparkan kepada khalayak khususnya melalui penggunaan media sosial yang mendapat tempat dalam kalangan masyarakat mutakhir ini.

“Semua pihak khususnya golongan yang bergelar sebagai pendakwah adalah dinasihatkan agar sentiasa menggunakan pendekatan yang sesuai dan berhikmah dalam menyampaikan dakwah. Kenyataan yang bersifat kontroversi dan boleh menimbulkan kegusaran awam hendaklah dielakkan,” katanya.

Sebelum ini Siti Afifah yang didakwa sering mengeluarkan kenyataan mengelirukan membabitkan hukum agama mengundang pelbagai reaksi warganet dilaporkan tidak mempunyai tauliah yang sah.

Sumber