Jaguh berbasikal trek negara, Shah Firdaus Shahrom mahu peminat sukan tanah air agar tidak berlebihan dalam memberi komen mengenai apa yang menimpa dirinya dalam acara akhir keirin di temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris yang baru saja melabuhkan tirainya baru-baru ini.

Shah terjatuh selepas dilanggar oleh pelumba Jepun, Shinji Nakano ketika perlumbaan menuju ke garisan penamat sekaligus terlepas pingat gangsa.

Baca Juga:

Seperti biasa, netizen serta-merta ‘menyerang’ laman Instagram Nakano dan mengamburkan pelbagai kecaman dan kritikan terhadap pelumba itu.

Shah Firdaus kemudiannya memuat naik satu kenyataan di laman Instagram miliknya dimana beliau mahu peminat agar tidak terlalu beremosi dan membiarkan apa yang berlaku dalam gelanggang kekal diantara pelumba.

“Untuk semua doa, sokongan dan semangat kalian, saya dengan rendah hati, mengucapkan ribuan terima kasih. Terima kasih kerana selalu menjadi kekuatan di belakang saya. Semoga Allah membalas yang lebih baik buat semua.

“Terima kasih juga buat KBS,OCM, MSN, ISN dan atas khidmat sokongan. Tidak dilupakan juga buat Kerajaan Negeri Johor dan MSNJ yang selalu menjadi tulang belakang saya sepanjang karier.

“Suka juga untuk saya menggunakan platform ini untuk kita saling mengingatkan bahawa, kami sebagai atlet sangat menjaga nama baik negara Malaysia yang kita cintai ini daripada pelbagai aspek. Oleh itu, saya berharap warga Malaysia yang menyokong dan menonton acara-acara sukan, apatah lagi di pentas sebesar ini untuk turut menjaga nama balk negara. Apa jua yang berlaku di lapangan dan gelanggang, jangan sesekali diheret sebagai isu peribadi dan emosi.

“Negara kita negara yang penuh budi bahasa, semoga terzahir dalam konteks sukan juga.
Di akhir nukilan ini, saya ingin menzahirkan jutaan terima kasih kepada keluarga tercinta dan juga team berbasikal trek Malaysia yang telah saya anggap sebagai keluarga. Segala jatuh bangun saya, kalianlah yang sentiasa di sisi. Terima kasih untuk seluruh kasih sayang dan pengorbanan,” katanya.