Satu usaha untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim sedang dijalankan oleh Perikatan Nasional, kata Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim secara jujur kepada pemberita.

Dalam laporan yang dimuat naik oleh Free Malaysia Today, Shahidan berkata bahawa sokongan yang diberikan kepada PN pada PRU-15 yang lalu sangat luar biasa.

Baca Juga:

Beliau juga mengucapkan tahniah, sambil berkata bahawa kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim tidak akan bertahan lama kerana ada cubaan untuk menjatuhkannya.

“Kita bersyukur, petanda yang baik sekarang ini ialah sokongan kepada PN luar biasa. Saya ucap tahniah kepada barisan Kabinet Anwar. Kita redalah apa yang berlaku.

“Jadi kami sedang berusaha supaya Kabinet ini tidak tahan lama dan insya Allah kami yang akan kembali memerintah berdasarkan mandat rakyat. Parti yang menang besar ialah anggota daripada PN, iaitu PAS,” katanya.

Anwar memimpin kerajaan perpaduan terdiri daripada PH yang memenangi 82 kerusi, diikuti Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (23) dan Gabungan Rakyat Sabah (6) serta parti lain dengan keseluruhan kekuatan kini hampir mencecah 2/3 Ahli Parlimen.

Untuk rekod, Shahidan yang digugurkan daripada senarai calon BN pada PRU15 berjaya mengekalkan penguasaannya di kerusi Parlimen Arau dengan majoriti 23,216 undi.