Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor, Datuk Seri Shahril Mokhtar mengambil positif pertambahan kuota pemain asing sebagai perancangan memperkuatkan Selangor FC yang akan mengharungi banyak perlawanan musim depan.
Selaku pasukan yang turut akan beraksi di pentas ACL 2 dan Kejohanan Kelab Asean (AFF), Shahril menganggap pertambahan kuota 15 pemain asing dalam Liga Malaysia 2025-2026 boleh membantu mereka untuk memberi cabaran lebih baik.
Baca Juga:
- TMJ: ‘Contohi Kuching FC Dan Selangor FC’
- RASMI: Katsuhito Kinoshi Dilantik Ketua Jurulatih Baharu Selangor
- Selangor Pertimbang Guna Undang-Undang Untuk Kes Faisal Halim
Namun begitu, beliau menjelaskan pasukan masih lagi dalam penilaian dan belum membuat keputusan sama ada mereka akan mendaftar seramai 15 pemain import atau sebaliknya bergantung kepada kualiti dan keperluan pasukan.
“Kalau kita lihat dari segi jumlah pendaftaran pemain import, seramai 15 pemain dibenarkan dan musim lepas kita dah daftarkan seramai 12 pemain import dan jumlah pemain atas padang pun berubah dari 6+1, sekarang 7+2.
“Untuk Selangor FC, sudah tentu kami mengalu-alukan perubahan ini tetapi tidak semestinya kita nak menggunakan kesemuanya kuota itu sebab kita perlu lihat bajet dan kualiti pemain.

“Tetapi perubahan dan langkah ini adalah baik terutamanya untuk Selangor dan juga JDT sebab dua pasukan ini akan beraksi di ACL dan kelab AFF, jadi ia akan beri kelebihan kepada kita untuk ada pilihan pemain yang lebih banyak.
“Namun kalau tanya saya untuk pasukan lain, sekiranya mampu, boleh untuk daftarkan 15 import, tapi kalau tidak mampu, janganlah. Kami pun masih lagi menilai, mungkin akan sama seperti musim lepas (12 import) atau tidak bergantung kepada keperluan”, jelasnya.
Musim Yang Padat Buat Selangor
Dalam pada itu, Shahril turut memberi bayangan musim 2025-2026 akan menjadi tahun yang padat untuk mereka apabila Selangor akan turut beraksi di Kejohanan Kelab AFF selepas mendapat slot selaku naib juara Liga Super selain turut teruja untuk mengharumkan nama negara.
“Saya rasa ia akan menjadi musim yang cukup sibuk untuk kelab ini, bukan sahaja untuk liga, tetapi akan ada ACL 2 dan juga AFF.
“Jadi, kami semua di Selangor memang menanti saat ini untuk turut sama beraksi di pentas AFF dan saya rasa baik Selangor dan JDT, akan ada rezeki untuk kelab-kelab ini harumkan nama negara”, tambahnya.