Teka-teki mengenai pengganti kepada Nidzam Jamil buat Selangor FC akhirnya terjawab selepas Katsuhito Kinoshi diumumkan sebagai ketua jurulatih kelab tersebut.
Perkembangan terkini mengenai kehadiran pengendali kelahiran Tokyo, Jepun itu disahkan Selangor menerusi kenyataan rasmi di laman sesawang rasmi pasukan, sebentar tadi.
Baca Juga:
- TERKINI: Nidzam Jamil Tinggalkan Selangor
- Selangor Tebus Kontrak Nooa Laine
- ‘Calon Kapten Selangor’ – Persembahan Harith Haiqal Dipuji Penyokong
“Kelab Bolasepak Selangor (Selangor FC) hari ini dengan sukacitanya mengumumkan bahawa Katsuhito Kinoshi telah dilantik sebagai Ketua Jurulatih baharu Selangor FC.”
“Memiliki pengalaman yang luas sebagai jurulatih, Kinoshi membawa pengetahuan mendalam tentang permainan serta ciri-ciri kepimpinan yang kukuh.”
“Kepakaran beliau dalam membangunkan pasukan, strategi, serta pembangunan pemain muda pasti akan menjadi aset besar kepada pasukan kami dalam usaha mencapai kejayaan.”
Berusia 60 tahun, Kinoshi hadir ke Selangor dengan reputasi hebat apabila menjadi pembantu kepada ketua jurulatih skuad kebangsaan Serbia, Dragan Stojkovic bermula 3 Mac 2021.
Sepanjang kerjasama dua individu tersebut, Serbia berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia 2022 di Qatar dan mengungguli Kumpulan 4 UEFA Nations League B 2022/23 untuk bertanding dalam League A.
Di peringkat kelab pula, mereka pernah bersama-sama ketika membimbing Guangzhou City pada 2015 hingga 2020.
Selain itu, Katsuhito Kinoshi turut pernah menimba ilmu bersama Giovanni van Bronckhorst sewaktu bersama Guangzhou City dan Akira Nishino (Nagoya Grampus).
“Saya merasa terhormat untuk menyertai Selangor FC dan saya teruja untuk bekerja dengan pemain-pemain berbakat di sini.”
“Bersama-sama, kami akan berusaha untuk membina sebuah pasukan yang bukan sahaja kukuh dari segi taktikal, tetapi juga penuh dengan semangat dan tekad untuk berjaya,” ujar beliau lagi menurut kenyataannya di Selangor FC.