Sarawak Shell Berhad (SSB), anak syarikat kepada Shell plc, secara rasmi telah memulakan pengeluaran gas dari medan gas Rosmari dan Marjoram yang terletak kira-kira 220 kilometer di luar pesisir pantai Sarawak.

Memetik kenyataan rasmi, Presiden Huluan Shell, Peter Costello berkata, permulaan operasi projek berkenaan membuktikan keupayaan syarikat itu dalam memanfaatkan pengalaman berdekad lamanya di lembangan tersebut bagi membekalkan sumber gas baharu secara cekap dan berdaya saing.

“Shell berbangga dengan sejarah panjang dan kejayaan kami di Malaysia. Kami mempunyai kepakaran yang kukuh di lembangan ini, dan permulaan pengeluaran Rosmari-Marjoram menyumbang kepada pertumbuhan pengeluaran sehingga ke dekad 2030-an,” katanya dalam satu kenyataan.

Gas yang dihasilkan daripada medan gas laut dalam itu akan disalurkan melalui saluran paip sepanjang 207 kilometer ke sebuah loji gas darat baharu di Bintulu untuk diproses, sebelum dibekalkan kepada Kompleks Gas Asli Cecair (LNG) PETRONAS.

Pembinaan loji di Bintulu ini turut mencatatkan projek darat terbesar SSB di Sarawak sejak penghujung tahun 1970-an.

Ditemui pada tahun 2014 pada kedalaman air sekitar 800 meter, medan Rosmari dan Marjoram menghasilkan gas masam (sour gas) yang mengandungi hidrogen sulfida, yang mana bahan tersebut akan disingkirkan secara selamat di loji pemprosesan di darat. Pembangunan projek ini merangkumi sambungan dasar laut (subsea tie-back), platform kepala telaga tanpa pemandu (unmanned wellhead platform), saluran paip ke darat, serta loji gas di Bintulu.

Dari aspek kelestarian tenaga, platform luar pesisir Rosmari-Marjoram direka untuk beroperasi menggunakan tenaga solar sepenuhnya semasa ketiadaan kakitangan, disokong oleh sistem bateri yang mampu menyimpan bekalan elektrik sehingga tiga hari. Generator diesel pula disediakan sebagai sumber kuasa sokongan serta digunakan ketika kakitangan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di platform tersebut.

Sementara itu, loji gas darat di Bintulu dikuasakan oleh grid elektrik tempatan yang berasaskan kuasa hidro dan dilengkapi dengan sijil tenaga boleh diperbaharui bagi mencapai penggunaan 100 peratus tenaga bersih.

Pembangunan Rosmari-Marjoram mencerminkan kerjasama strategik antara Shell dan PETRONAS—menerusi Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) serta PETRONAS Carigali Sdn. Bhd.—dalam menggabungkan kepakaran dan pelaburan bagi menjana nilai jangka panjang.

Secara keseluruhannya, projek ini menyumbang kepada komitmen global Shell untuk memulakan operasi projek huluan dan gas bersepadu antara tahun 2025 hingga 2030, dengan jumlah pengeluaran puncak melebihi 1.4 juta tong bersamaan minyak sehari (boe/d).

Shell mempunyai rekod penglibatan jangka panjang dalam industri tenaga negara sejak menggerudi telaga minyak pertama Malaysia pada tahun 1910 dan memulakan pengeluaran gas luar pesisir sejak 1982. Selain Rosmari-Marjoram, syarikat itu turut mempunyai kepentingan dalam beberapa medan pengeluaran lain di luar pesisir Sarawak termasuk Timi dan Gorek, di samping terus meneroka potensi baharu di lembangan berkenaan.

Sumber