Legenda Manchester United, Teddy Sheringham mempunyai pendapat beliau tersendiri berhubung siapakah individu yang sesuai sekiranya Ruben Amorim dipecat.
Amorim kini jelas berada dalam keadaan tertekan apabila Manchester United hanya berada di kedudukan ke-14 saingan English Premier League (EPL) 2024/25.
Baca Juga:
- Roy Keane: Bruno Fernandes Bukan Kapten Yang Kami Harapkan
- Roy Keane: Saya Bersyukur Tak Pernah Berhadapan Dengan Pemain Ini
- Amorim Mampu Hadiahkan 3 Piala Sekiranya Pemain MU ‘Melakukan Perkara Ini’ – Sheringham
Sebagai sebuah pasukan yang mempunyai reputasi serta sejarah hebat, kedudukan tersebut membuatkan Amorim sentiasa menjadi mangsa kritikan peminat dan pundit bola sepak.
Malah, masa depannya bersama The Red Devils juga dilihat berada dalam bahaya sekiranya tiada perubahan positif dapat dijelmakan oleh anak-anak buahnya dalam baki 11 perlawanan lagi.
Sehubungan dengan itu, Sheringham yang beraksi bersama United pada musim 1997/98 hingga 2000/01 melihat bekas rakan sepasukannya mampu untuk menjadi pengganti sekiranya Amorim dipecat.
Roy Keane Calon Tepat Dari Kaca Mata Teddy Sheringham
“Roy Keane, tanpa ragu-ragu. Tiada pemimpin di kelab bola sepak ini [merujuk kepada Manchester United],” ujar Teddy Sheringham menurut sumber laporan Goal.
“Anda memerlukan pemimpin di kelab bola sepak terkemuka contohnya seperti John Terry, Tony Adams dan Roy Keane. Mereka pemain yang memimpin dengan contoh dan memastikan orang lain melakukan tugas mereka.”
“Tiada siapa yang melakukan itu di Manchester United. Jadi, bawa Roy Keane masuk untuk menggegarkan beberapa pihak, pastikan mereka semua faham apa yang perlu dilakukan dan lakukan perkara tersebut.”
“Roy sudah lama tidak bekerja [sebagai pengurus]. Saya tidak akan keberatan jika dia kembali ke kelab bola sepak, tetapi saya rasa hanya ada satu peranan untuk Roy Keane dan dia perlu menjadi pemimpin.”
“Mungkin ada ketegangan pada masa tertentu, tetapi perkara ini perlu diselesaikan, bukan? Manchester United perlu dibentuk semula di sana.”
“Saya tidak pasti sama ada dia telah berkembang sepanjang masa dia tidak terlibat dalam bola sepak, atau jika dia sudah bersedia untuk kembali ke dunia bola sepak.”
“Ego beliau mungkin akan membawa dia kembali ke sana juga ke Manchester,” tambah Sheringham lagi.