Ketua jurulatih skuad kebangsaan Indonesia, Shin Tae-yong tetap memuji aksi dijelmakan anak buahnya walaupun tewas kepada China 1-2 pada aksi keempat Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 yang berlangsung malam tadi.
Perlawanan di Qingdao Youth Football Stadium itu menyaksikan kekalahan pertama dialami Indonesia dimana sebelum ini skuad Garuda mencatatkan keputusan seri ketika bertemu Arab Saudi (1-1), Australia (0-0) dan Bahrain (2-2).
Baca Juga:
- Kelayakan Piala Dunia 2026: China Hadiahkan Kekalahan Pertama Buat Indonesia
- Kelayakan Piala Dunia 2026: Maarten Paes Cemerlang Pastikan Indonesia Ikat Australia
- Kelayakan Piala Dunia 2026: Indonesia Ikat Arab Saudi 1-1
Indonesia ketinggalan 0-2 pada babak pertama hasil jaringan Baihelamu Abuduwaili dan Zhang Yuning. Thom Haye cuba merapatkan defisit jaringan tetapi ia masih belum cukup untuk menghalang kemenangan sulung buat tuan rumah.
Melihatkan kepada keadaan tersebut, pengendali kelahiran Korea Selatan itu menganggap ia bukanlah pengakhiran buat skuad kendaliannya.
“Walaupun kalah, pasukan kebangsaan Indonesia telah menampilkan permainan terbaiknya,” ujar Shin Tae-yong menurut kenyataannya di laman sesawang rasmi Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI).
“Tahniah diucapkan kepada China kerana memenangi erlawanan ini. Kedua-dua China dan Indonesia sebenarnya telah menunjukkan keinginan yang sama untuk meraih kemenangan. Namun, keinginan yang ditampilkan oleh pasukan China jauh lebih besar.”
“Tetapi, ini bukan pengakhiran segalanya buat kami. Pasukan kebangsaan Indonesia bakal mempersiapkan diri lebih baik untuk perlawanan seterusnya dengan keadaan yang jauh lebih baik,” tambah beliau lagi.
Indonesia akan menanti kunjungan pendahulu kumpulan C, Jepun pada 15 November dan Arab Saudi berselang empat hari kemudian.
Selepas mengharungi empat perlawanan peringkat kumpulan, Indonesia kini berada di kedudukan kelima dengan tiga mata diraih, hanya berkelebihan perbezaan jaringan berbanding pasukan tangga terbawah, China.