Ketua jurulatih skuad kebangsaan Indonesia, Shin Tae-yong percaya bahawa prestasi penjaga gol, Maarten Paes akan terus meningkat untuk terus memainkan peranan penting buat skuad kendaliannya.

Seperti dilaporkan malam tadi, Paes beraksi dengan cukup cemerlang untuk menafikan sekurang-kurangnya lima percubaan berbahaya dijelmakan Australia.

Baca Juga:

Prestasi cemerlang ditampilkan penjaga gol berusia 26 tahun itu membolehkan Indonesia meraih satu lagi keputusan seri selepas berjaya mengikat Arab Saudi pada aksi sulung pada Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.

Malah, Paes yang berpangkalan di Amerika Syarikat (bersama FC Dallas) berjaya menyelamatkan sepakan penalti ketua pasukan Arab Saudi,  Salem Al Dawsari pada pertemuan di Jeddah itu.

Melihatkan kepada aksi penjaga golnya itu, Tae-yong tanpa berselindung berpendapat Paes mampu untuk terus meningkatkan kemampuannya ketika beraksi.

“Dia (merujuk kepada Maarten Paes) beraksi dengan sangat baik,” ujar Shin Tae-yong menurut sumber laporan Goal Indonesia.

“Saya yakin prestasinya itu masih boleh menunjukkan peningkatan. Paes dapat memimpin rakan sepasukannya dari barisan belakang pasukan.”

“Saya yakin dia akan lebih baik dimana akan membuatkan dia dan rakan sepasukannya lebih kompak antara satu sama lain.”

Pada perlawanan yang berlangsung malam tadi, Indonesia lebih banyak ditekan Australia, namun jentera pertahanan serta Paes cukup kental bertahan untuk memastikan gawang mereka tidak dibolosi.

Selepas mengharungi dua perlawanan peringkat kumpulan, Indonesia kini berada di kedudukan keempat daripada enam pasukan dengan dua mata dikumpul.