Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Korea Selatan dan Indonesia, Shin Tae-yong semakin hampir untuk bergelar pengendali baharu Ulsan HD.

Menurut laporan Korea Football News, Shin Tae-yong akan membariskan Kim Yong-dae, Go Yo-han dan Kim Dong-ki dalam barisan kejurulatihannya untuk membantu mengubah nasib Ulsan HD.

Baca Juga:

Shin Tae-yong Pengganti Sesuai

Jurulatih berusia 54 tahun itu dilihat calon sesuai untuk menggantikan Pan-gon berbekalkan pengalaman luasnya terutamanya ketika bergelar jurulatih Korea Selatan dan Indonesia.

Tae-yong pernah membimbing Korea Selatan hingga berjaya mengejutkan Jerman 2-0 pada aksi peringkat kumpulan Piala Dunia 2018.

Bersama Indonesia pula, beliau memainkan peranan penting dalam mengetengahkan pemain-pemain muda berbakat besar di peringkat lebih tinggi.

Ketika mendapat sentuhan beliau, Indonesia berjaya melangkah ke separuh akhir Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) dan hampir sahaja layak ke Sukan Olimpik ekoran kemaraan tersebut.

Kim Pan-gon
Sumber Gambar: Ulsan HD

Seperti dilaporkan sebelum ini pengendali terdahulu, Kim Pan-gon dipecat ekoran prestasi buruk ditampilkan skuad kendaliannya.

Walaupun tidak dapat menerima keputusan pengurusan tertinggi itu kerana merasakan beliau tidak sepatutnya dipecat, Pan-gon yang pernah bersama skuad kebangsaan Malaysia terpaksa mengucapkan selamat tinggal buat kelab tersebut.

Sejak dilantik sebagai ketua jurulatih Ulsan HD pada penghujung Julai tahun lalu, Kim Pan-gon berjaya membantu kelab tersebut muncul juara K League 1.

Selepas aksi buruk dalam AFC Champions League (ACL) Elite 2024/25, musim baharu kempen liga juga menyaksikan Ulsan HD berada dalam keadaan terumbang-ambing.

Kelab itu kini berada di tangga ketujuh liga, ketinggalan 23 mata di belakang pendahulu, Jeonbuk Hyundai Motors FC dengan lapan kemenangan, tujuh keputusan seri dan sembilan kekalahan dialami.

Dalam pada itu, Ulsan HD mengalami tiga kekalahan berturut-turut pada Piala Dunia Kelab FIFA yang diadakan di Amerika Syarikat serta turutĀ gagal mara ke separuh akhir Piala Korea.