Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan Dato’ Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain tidak dapat menerima pelantikan sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM.

Menurut FAM, keputusan itu dibuat berikutan kekangan masa serta tanggungjawab beliau sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).

“FAM menghormati keputusan tersebut serta merakamkan penghargaan kepada Dato’ Sri Mohd Shuhaily atas kesediaan dan komitmen beliau sebelum ini untuk membantu FAM dalam memperkukuhkan aspek integriti dan tadbir urus,” kata FAM dalam satu siaran media pada Isnin, 5 Oktober 2026.

Sebelum ini, FAM mengumumkan pelantikan Mohd Shuhaily sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM.

Jawatan Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM pula disandang bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Seri Panglima Ayob Khan Mydin Pitchay.

FAM berkata, pihaknya akan memastikan kelancaran fungsi Jawatankuasa Integriti terus diberi perhatian bagi menyokong usaha memperkukuhkan integriti dan tadbir urus badan induk bola sepak negara itu.

Pelantikan jawatankuasa berkenaan dilihat sebagai antara usaha FAM untuk memperkukuhkan aspek integriti dan tadbir urus dalam organisasi, khususnya ketika badan induk bola sepak negara terus berdepan tuntutan untuk meningkatkan ketelusan serta kebertanggungjawaban.