Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan kenyataannya mengenai pihak yang mahu ambil alih Kedah Darul Aman (KDA) FC jangan ‘scam’ tidak merujuk kepada mana-mana syarikat atau individu tertentu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Pengerusi Eksekutif DSAT Group Sdn Bhd, Datuk Seri Azizul Tandek yang sebelum ini bercadang mengambil alih KDA FC, namun kemudian mahu memfailkan saman sebanyak RM1 bilion terhadap Sanusi.

Baca Juga:

“Saya tak kata apa kat dia, saya pun tak tahu. Saya tak sebut nama dia, tak sebut nama syarikat dia, saya pun tak sebut siapa-siapa. Saya cuma sebut siapa nak ambil (alih KDA FC) jangan jadi scammer (menipu). Siapa makan cili dia rasa pedas. Takut dia yang gigit cili.

“Kerana sebelum ini sudah ada banyak cubaan dan usaha mengambil alih tapi ‘scam’, kita harap pengalaman itu tak berulang,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Dalam kenyataan 7 November lalu, Sanusi berkata beliau mahu KDA FC diuruskan dengan baik oleh pemilik baharu dan masalah tunggakan gaji dapat diselesaikan.

“Kalau dia ada kemampuan untuk selesai masalah silakan, kita harap dan berdoa dia ada kemampuan, tapi jangan ‘scam’ (tipu). Belum apa-apa lagi sudah buat kenyataan macam-macam.

“Macam scammer tak bagus lah. Dia tak ada sangkut paut dengan kita (KFA), dia tak berurusan dengan kita dan dia tak perlu kebenaran saya atau EXCO Sukan (untuk ambil alih KDA),” katanya.