Semalam kecoh di media sosial tentang dakwaan insiden kebocoran data pengguna yang melibatkan syarikat Maybank, Astro dan juga SPR. Jadi, ramai yang mahu kepastian daripada kerajaan sama ada berita tersebut adalah benar atau pun sebaliknya.
Lanjutan daripada itu, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) telah pun memberi komen yang mengatakan kerajaan memandang serius tentang dakwaan kebocoran data itu.
Baca Juga:
- Data unifi Mobile Melibatkan 250,248 Pelanggan Dilaporkan Tertiris
- 13 Juta Data Pengguna Astro, Maybank Dan SPR Didakwa Sedia Dijual Secara Terbuka
Kenyataan media berhubung siasatan dakwaan kebocoran data melibatkan @MyMaybank, Astro & @sprgovmy pic.twitter.com/fHbEAK9oxW
— Fahmi Fadzil 🇲🇾 (@fahmi_fadzil) December 30, 2022
Siasatan awal pihak kerajaan mendapati nombor akaun Maybank yang dipaparkan dalam laman sesawang tersebut adalah tidak sah dan tidak wujud kerana transaksi tidak boleh dilakukan.
Sementara untuk data yang dikhabarkan daripada Astro pula, dikatakan mungkin hadir daripada insiden pada tahun 2018 yang lalu. Pada ketika itu, Astro mengatakan data yang terbabit hanya melibatkan pelanggan Astro IPTV sahaja. Namun, perkara ini masih belum disahkan sepenuhnya sama ada ia berkait ataupun tidak.
Siasatan berkenaan kebocoran data SPR pula diserahkan kepada Agensi Keselamatan Siber Negara untuk tindak selanjutnya. Sama-sama kita nantikan pengumuman seterusnya untuk mengetahui kebenaran tentang insiden kebocoran data pada kali ini.