Penipuan di dalam talian kini sudah datang dalam pelbagai bentuk untuk memperdaya mangsanya. Oleh itu, pihak berkuasa juga sentiasa mengambil langkah proaktif termasuklah memburu dalang di sebaliknya.

Terbaharu, polis berjaya menumpaskan sindiket penipuan dalam talian selepas menyerbu dua premis di Jalan Tun Razak. Difahamkan sindiket ini memperdaya mangsa untuk memuat turun fail APK pada peranti.

Baca Juga:

Dengan fail APK ini membolehkan sindiket menggunakan kad debit mangsa kerana mangsa memasukkan maklumat perbankan ketika proses memuat turun fail dijalankan.

Selepas itu, kad debit mangsa akan digunakan menerusi aplikasi pembayararan elektronik tanpa disedari. Sindiket juga menggunakan platform jual beli atas talian untuk memancing mangsa berdasarkan siasatan awal.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata sindiket didapati beroperasi selama tiga bulan dan semua ahli sindiket bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan dengan tawaran gaji sebanyak RM4,000 sebulan.

Menerusi serbuan ini, seramai tujuh individu termasuk empat warga asing berusia 20 tahun hingga 27 tahun telah berjaya ditahan. Malah, pihak berkuasa merampas lima komputer dan 28 telefon pintar yang disyaki digunakan dalam menjalankan kegiatan sindiket penipuan berkenaan.

Sebagai peringatan semua, jangan sesekali memuat turun fail APK daripada sumber meragui kerana berpotensi tinggi hanyalah perangkap. Anda juga perlu memastikan maklumat perbankan tidak dikongsi dengan mudah lebih-lebih lagi kepada individu yang tidak berkaitan.

Sumber