Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyatakan sistem pembayaran terbuka tol menggunakan teknologi Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR) yang disokong platform digital bersepadu, akan dilaksanakan secara berperingkat di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bermula Oktober ini.
Menerusi hantaran Facebook beliau, 13 plaza tol dan 35 lorong PLUS terlibat dalam fasa rintis sistem ANPR ini yang bakal dilaksanakan secara rintis di Lebuhraya PLUS bermula Oktober ini (Hutan Kampung ke Sungai Dua) dan akan diperluaskan secara berperingkat.
Baca Juga:
- PLUS Dijangka Bakal Mula Uji Sistem Tol Tanpa Palang April Ini

- Sistem Pembayaran Tol Tanpa Palang Bakal Mula Diuji Pada Tahun Hadapan

Tidak memerlukan sebarang kad fizikal atau alat tambahan, pengguna lebuh raya hanya perlu daftar nombor plat kenderaan dalam aplikasi JustGO, dan terus pandu melalui pondok tol.

Bayaran tol dibuat secara automatik melalui kad debit atau kad kredit atau e-dompet anda yang didaftarkan di aplikasi tersebut.
Menurut beliau lagi, tiada caj dikenakan kepada pengguna untuk mendaftar atau menggunakan sistem berkenaan.
Malaysia sudah bersedia sistem tol tanpa palang
“Ini permulaan strategik yang menunjukkan kesiapsiagaan industri ke arah pelaksanaan sistem MLFF – sistem tol tanpa palang yang lebih lancar dan inklusif.
“Ini juga selari dengan hala tuju baru MLFF yang telah ditetapkan oleh Kerajaan iaitu membuka peluang kepada syarikat penyedia perkhidmatan yang berkaitan di luar sana untuk berbincang dan berurusan terus dengan 33 syarikat konsesi lebuh raya bertol sedia ada (secara business to business) agar MLFF dapat dilaksanakan. MLFF dilaksanakan tanpa melibatkan implikasi kewangan kepada Kerajaan.

“Saya kongsikan kepada media tadi, Kerajaan fokus untuk melaksanakan MLFF sepenuhnya dalam tempoh dua tahun akan datang, dengan ANPR sebagai asas teknikal kepada sistem tersebut.
“Semoga usaha ini dapat memberi lebih keselesaan kepada pengguna lebuhraya,” jelas Nanta.