Skuad Malaysia Bawah 16 tahun (B-16) meletakkan sasaran untuk beraksi di Piala Dunia 2025 apabila Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah menambah 9 slot kepada benua Asia.

Menurut pengurus skuad B-16 negara, Christopher Raj, penambahan slot itu telah memberi peluang kepada Malaysia untuk memburu tempat di Piala Dunia B-17 dengan syarat layak ke suku akhir Piala Asia B-17 2025.

Baca Juga:

Justeru itu, Kejohanan Piala AFF B-16 2024 di Surakarta yang berlangsung pada 21 Jun hingga 3 Julai 2024 merupakan medan persiapan awal skuad B-16 negara sebelum menghadapi Kelayakan Piala Asia B-17 pada bulan Oktober nanti.

“Sasaran peribadi saya adalah menyaksikan pasukan ini layak pada Piala Asia B-17 2025 nanti. Pada kejohanan terbabit kita akan ada peluang untuk bersaing pada Piala Dunia B-17 2025 di Qatar.

“Pada saingan itu, slot automatik diberikan kepada pasukan benua Asia sudah bertambah kepada sembilan negara termasuk tuan rumah berbanding tiga ke empat negara sahaja sebelum ini.

“Bukan saya cakap Piala Asean B-16 tidak penting, kejohanan ini penting untuk menguji pasukan kerana kita akan menguji negara berkualiti seperti Thailand dan Australia,” katanya dipetik dalam Arena Metro.

Skuad Remaja Malaysia Sasar Beraksi Di Piala Dunia B-17 2025
FOTO: FAM

Skuad B-16 ini dibentuk hasil gabungan majoriti pemain-pemain dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan Akademi Johor Darul Ta’zim (JDT) III selepas penilaian dilakukan terhadap 160 pemain dari pelbagai akademi seluruh negara.

Sebanyak 23 pemain telah dipilih dari senarai 40 pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat dan kesemua pemain sudah bersedia untuk membawa cabaran Malaysia di kejohanan Asean ini.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan C dan akan berhadapan Timor Leste, Thailand serta Australia dengan tiga juara kumpulan serta satu pasukan tempat kedua terbaik akan layak ke peringkat separuh akhir.

Sebelum ini, Malaysia pernah muncul juara sebanyak dua kali pada 2013 di Myanmar dan 2019 di Thailand 2019 ketika kejohanan itu dikenali sebagai Kejuaraan AFF B-16.