Skuad futsal Johor mendapat tonik berguna menjelang saingan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 pada Ogos nanti apabila muncul juara Piala Futsal Jemputan 2024.

Perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Tertutup Pasir Gudang petang semalam itu menyaksikan Johor berjaya mengenepikan cabaran Sarawak 6-1.

Baca Juga:

Dibarisi pemain dalam saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) dan Liga Futsal Institut Pengajian Tinggi (IPT), pengalaman jelas memihak pasukan tuan rumah walaupun Sarawak terlebih dahulu membuka tirai jaringan.

Johor tersentak seawal minit keempat hasil ledakan daripada luar kawasan D oleh ketua pasukan Sarawak, Mohamad Azrin Shahmin Jefery yang menewaskan penjaga gol, Muhammad Izham Zulkifli.

Johor kemudiannya tampil dengan lebih garang untuk mendapatkan jaringan penyamaan dan usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-18.

Berpunca daripada kesilapan pemain Sarawak yang gagal mengawal bola dengan baik dalam kawasan sendiri memberikan ruang buat Muhd Rusyazwi Mohd Rodzi untuk menjadikan kedudukan 1-1.

Separuh masa kedua jelas semakin memperlihatkan keampuhan jentera serangan skuad futsal SUKMA Johor yang menambah lima lagi jaringan menerusi Muhammad Adham Yusri (minit ke-22), Muhd Dodie Al Fareq Mohd Zailani (minit ke-27 dan 31), Rusyazwi (minit ke-34) dan Adam Danial Mohd Nizam ketika aksi berbaki seminit.

Sementara itu, Pulau Pinang menduduki tangga ketiga selepas menundukkan Sabah 5-0 pada aksi penentuan ke-3/4 yang berlangsung sebelum perlawanan akhir.

Kejohanan yang julung kali diadakan itu menampilkan lapan pasukan termasuk skuad SUKMA Kuala Lumpur, SUKMA Perlis, SUKMA Sarawak, SUKMA Sabah, SUKMA Pulau Pinang, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Johor Bahru FA.