Pemain beregu negara, Soh Wooi Yik mengakui impak yang dijelmakan jurulatih dari Indonesia, Herry Iman Pierngadi amat membantu dalam peningkatan persembahannya bersama Aaron Chia.
Selepas menjuarai Kejohanan Asia 2025 di Ningbo, China pada 13 April lalu, Aaron dan Wooi Yik meneruskan momentum cemerlang memasuki bulan Mei dengan muncul juara Terbuka Thailand dan naib juara Malaysia Masters.
Baca Juga:
- Terbuka Singapura 2025: Final Ketiga Berturut-Turut Buat Aaron Chia-Soh Wooi Yik
- Kejuaraan Berganda Buat Malaysia, Aaron-Wooi Yik Turut Ungguli Terbuka Thailand 2025
- Tampil Cemerlang, Aaron Chia-Soh Wooi Yik Juarai Kejohanan Badminton Asia 2025

Perjalanan positif tersebut tidak terhenti di situ apabila pasangan ranking kedua dunia itu akan beraksi di pentas final Terbuka Singapura menentang Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan, petang nanti.
Prestasi hebat ditampilkan itu boleh diibaratkan antara yang terbaik sepanjang karier antarabangsa Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Herry Antara Faktor Perubahan Aaron Chia & Soh Wooi Yik
Sehubungan dengan itu, Wooi Yik tidak menolak hakikat bahawa faktor Herry Iman sedikit sebanyak telah mengubah corak permainan mereka ketika beraksi.
“Saya rasa memang istimewa sejak ‘Coach’ Herry datang, dia banyak menukar corak permainan kita,” ujar Wooi Yik dalam temubualnya bersama laman Instagram badmintalk_com.
“Tetapi, saya rasa saya dengan Aaron juga memang sudah ada ‘basic’ dan pengalaman untuk menghadapi satu-satu pertandingan.”

“Tetapi mungkin dia tambah lebih banyak idea dan teknik yang saya rasa berkelas dunia bagi kita, jadi kita dapat peningkatan dalam aspek tersebut.”
“Kita masih lagi belajar dengan dia, dengan beberapa pertandingan lagi akan dihadapi. Diharapkan ianya akan berhasil dan menjadi lebih baik lagi,” tambah Soh Wooi Yik lagi.