Tonggak Los Angeles FC, Son Heung-min mendedahkan kisah perjalanan kariernya dari Korea Selatan ke Eropah ketika masih remaja.
Pemain serangan itu mengimbas kembali pengalamannya berpindah ke Hamburg pada usia remaja, termasuk menggunakan siri animasi popular SpongeBob SquarePants untuk mempelajari bahasa Jerman.
Son turut menceritakan pengalamannya mengalami kejutan budaya serta wujud perasaan terasing yang dialaminya selepas berpindah ke negara lain ketika baru berusia 16 tahun.
Son hampir menolak laluan yang akhirnya membawanya ke perpindahan ke MLS bersama LAFC, sebelum mengakui kegigihan kelab Amerika Syarikat itu yang berulang kali cuba mendapatkannya selama bertahun-tahun berjaya mengubah fikirannya.
Namun, menyesuaikan diri dengan kehidupan di Jerman terbukti menjadi cabaran pembelajaran paling besar buat dirinya.
SpongeBob Jadi ‘Guru’ Son
Menjawab dakwaan mengenai cara dia mempelajari bahasa, Son mengesahkan bahawa menonton SpongeBob SquarePants menjadi kaedah utamanya untuk menguasai bahasa Jerman.
Beliau mengimbas kembali bagaimana dirinya terus menonton rancangan tersebut walaupun watak-wataknya bercakap terlalu pantas sehingga sukar difahami pada peringkat awal.
Siri animasi itu memberikan gambaran visual yang membantunya memahami dan mengingati kosa kata baharu perkataan demi perkataan.
“Memang betul,” kata Son ketika ditanya mengenai kartun tersebut menurut sumber laporan Goal.
“Sebagai sebuah kartun, saya rasa mereka bercakap terlalu pantas sehingga pada awalnya saya tidak dapat memahaminya. Tetapi saya tetap menonton dan cuba memahami apa yang berlaku melalui gambar-gambar tersebut dalam fikiran saya.”
“Berjauhan daripada keluarga ketika berusia 16 tahun memang sangat, sangat sukar. Tetapi apabila saya fikirkan semula sekarang, ia ternyata berbaloi.”
“Saya dapat bertutur dalam bahasa Jerman, saya mempelajari budaya mereka, jadi segala kesukaran yang saya lalui itu memang berbaloi,” tambah beliau lagi.