Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu baru-baru ini telah menolak tuntutan saman yang difailkan oleh seorang bekas pelajar terhadap pihak sekolah dan kerajaan, berhubung insiden rampasan telefon pintar yang disembunyikan di dalam pakaian dalamnya ketika peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), enam tahun lalu.
Hakim Wan Nor Aklima Wan Salleh dalam penghakimannya memutuskan bahawa tindakan guru menjalankan pemeriksaan mengejut ke atas plaintif adalah satu tindakan yang wajar, munasabah, dan bertujuan mengekalkan integriti peperiksaan.
Kes yang bermula pada 25 Oktober 2020 di SMK Sura, Dungun itu melibatkan seorang pelajar yang kini berusia 23 tahun lapor Berita Harian.
Kronologi Insiden dan Penemuan Bukti

Kejadian berlaku semasa kertas peperiksaan Sains Rumah Tangga sedang berlangsung. Pihak sekolah bertindak menjalankan pemeriksaan selepas menerima aduan daripada calon lain yang mengesyaki plaintif melakukan penipuan.
Hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh guru wanita menemui sebuah peranti iPhone 6 berwarna emas yang disembunyikan secara sengaja di dalam pakaian dalam pelajar berkenaan.
Apa yang lebih mengejutkan, pemeriksaan lanjut ke atas peranti tersebut menemui nota rujukan serta dokumen digital yang mengandungi soalan-soalan yang mempunyai kaitan terus dengan kertas peperiksaan yang sedang diduduki.
Susulan pembuktian tersebut, plaintif hanya diberikan markah satu peratus bagi subjek terlibat selaras dengan peraturan disiplin sekolah.
Dalam prosiding tersebut, plaintif melalui bapanya mendakwa bahawa pemeriksaan badan tersebut adalah tidak wajar, memalukan, dan bersifat fitnah sehingga menyebabkan tekanan emosi.
Walau bagaimanapun, Hakim Wan Nor Aklima mempersoalkan logik di sebalik tindakan pelajar tersebut menyembunyikan peranti di lokasi yang sangat mencurigakan.
“Plaintif mendakwa dia menyimpan telefon itu di dalam pakaian dalam kerana takut ia hilang jika ditinggalkan di luar dewan. Mengapa perlu letak di dalam pakaian dalam?
Mengapa bukan di dalam poket baju?” soal Hakim dalam alasan penghakimannya. Beliau seterusnya menegaskan bahawa tindakan tersebut jelas merupakan sesuatu yang telah dirancang:
“Pada hemat mahkamah, ini adalah sesuatu yang dirancang dan bukan tindakan spontan. Plaintif sudah melakukan pertimbangan yang lemah dan mengambil risiko besar dengan membawa telefon itu masuk ke dewan peperiksaan.”
Isu Kebocoran Kertas Peperiksaan
Mahkamah turut menzahirkan rasa ralat terhadap satu penemuan yang lebih serius, iaitu pemilikan kertas peperiksaan percubaan beserta skema jawapan bagi beberapa subjek teras di dalam telefon tersebut sebelum peperiksaan bermula.
Hakim menyifatkan perkara ini sebagai isu besar yang seharusnya diberikan perhatian lebih mendalam oleh semua pihak terlibat.
Mengenai dakwaan fitnah, mahkamah memutuskan bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh guru-guru terlibat adalah dilindungi oleh ‘keistimewaan bersyarat’ (qualified privilege) kerana ia dibuat dalam kapasiti menjalankan tugas rasmi dan siasatan tatatertib.
Mahkamah juga mendapati tiada sebarang sentuhan fizikal yang tidak wajar berlaku memandangkan pemeriksaan dilakukan di ruang tertutup dan hanya melibatkan guru wanita.
Keputusan Akhir
Rentetan daripada kegagalan plaintif membuktikan dakwaannya, mahkamah memerintahkan plaintif membayar kos sebanyak RM10,000 kepada pihak defendan yang terdiri daripada dua orang guru, pengetua, Ketua Pengarah Pendidikan, dan kerajaan Malaysia.
Pihak defendan diwakili oleh Pegawai Undang-Undang Negeri, Nik Rabi’atul Adawiyah Soupy dan Muhammad Faizuan Khalid, manakala plaintif diwakili peguam Hisyam Yusof. Difahamkan, pihak plaintif telah memfailkan rayuan terhadap keputusan ini ke Mahkamah Tinggi.