Para penghuni kediaman nampaknya perlu bersiap sedia untuk berbelanja lebih membayar bil air bermula bulan hadapan.

Dilaporkan tarif baharu air bagi kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan membabitkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu akan berkuat kuasa bermula 1 Februari ini.

Baca Juga:

Pelarasan ini dijangka membabitkan kira-kira 6.9 juta pengguna kategori domestik atau mewakili 86.6 peratus, daripada 7.9 juta pemegang akaun.

Kenaikan 22 sen itu adalah purata jumlah kenaikan bagi setiap 1,000 liter air yang digunakan.

Tarif baharu air itu dijangka membabitkan caj bil naik dalam julat antara RM1.60 hingga RM8 bagi setiap kediaman atau lima hingga 27 sen sehari bagi penggunaan isi rumah sebanyak 20 meter padu sebulan.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melalui kenyataannya berkata pelarasan tarif air ini akan dilaksanakan mengikut Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) bagi pengguna kategori domestik.

Menurut SPAN, berdasarkan TSM, struktur dan komponen tarif akan diseragamkan untuk negeri di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan manakala tarif air akan dikaji semula setiap tiga tahun untuk memastikan keselarasan dalam penentuan bayaran.

Tambah SPAN lagi, pelarasan tarif air yang mencerminkan kos bekalan air sangat penting bagi membolehkan operator air meningkatkan tahap perkhidmatan dalam membekalkan air yang berkualiti secara berterusan.

Katanya, bagi meminimumkan impak kenaikan ke atas bil air bulanan rakyat, operator bekalan air di negeri masing-masing diminta meneruskan inisiatif sedia ada iaitu memberikan bantuan kepada pengguna domestik secara bersasar antaranya pemberian rebat kepada golongan B40.

Sumber