Pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan telah membeku kira-kira 20 akaun perbankan bernilai lebih RM740,000 susulan siasatan penyelewengan dana derma awam membabitkan pasangan pempengaruh serta dua lagi individu.
Memetik Harian Metro, sumbernya menyatakan akaun yang dibekukan itu adalah akaun milik individu serta syarikat yang dipercayai mempunyai kaitan dengan dana yang diterima daripada orang ramai menggunakan satu platform kutipan derma dalam talian.
Baca Juga:
- Michael Ang Minta Orang Ramai Hentikan Budaya Beri Derma Kepada ‘Influencers’
- Lima Influencer Ditahan Atas Tuduhan Promosi Judi Online
“Sejak siasatan dijalankan, SPRM menerusi Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) menyita dan membekukan hampir 20 akaun milik individu serta syarikat bagi membantu siasatan dijalankan.
“Kemungkinan akan ada beberapa lagi akaun perbankan yang akan turut disita serta dibekukan oleh SPRM,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah AML SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul mengesahkan pembekuan akaun-akaun tersebut.
Menurutnya, tindakan itu dibuat mengikut Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Terdahulu, pasangan influencer terbabit dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan tahanan reman.
Permohonan tahanan reman itu adalah untuk siasatan ke atas dakwaan salah laku penyelewengan dana kutipan derma awam menerusi platform online.