Gelanggang rasmi pasukan Liga Super, Sri Pahang iaitu Stadium Darul Makmur jadi stadium pertama negara yang menggunakan rumput Bermuda Tifgrand.
Menurut Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, rumput tersebut lebih tahan lebih lama berbanding rumput Cowgrass yang digunakan sebelum ini.
Baca Juga:
- Hanya Empat Negeri Tidak Mahu Tukar Rumput Di Stadium Utama
- Padang Stadium Darul Makmur Bakal Ditukar Kepada Rumput Bermuda
- Stadium Perak Mulakan Proses Tukar Rumput Mulai November
Selain itu, ianya lebih cantik dan mudah menyerap air.
“Apa yang saya nak kongsikan adalah rumput Bermuda Tifgrand ini dilesenkan dari Jepun. Beberapa hari lalu, syarikat dari Jepun telah datang ke sini untuk menilai kerja-kerja menaiktaraf ini sebab rumput ini kita mendapat lesen dari syarikat ini. Jadi harganya agak mahal dan ia adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia.
“Dan kelebihan Bermuda Tifgrand ini, yang pertamanya ianya tahan lasak. Yang keduanya ia lebih hijau pekat dan yang ketiganya ia tumbuh rapat, jadi nampak cantik dan yang keempatnya ia serap air.
“Maknanya kalau dalam hujan pun ia lebih cepat menyerap air jadi saya difahamkan tak adalah bertakung dan sebagainya,” katanya dipetik dalam Pahangmedia.
Kerja-kerja naiktaraf padang berkenaan telah bermula sejak september lalu dan rumput dijangka matang sepenuhnya sekitar Mac tahun hadapan.
Keadaan musim tengkujuh yang melanda pantai timur ketika ini turut membantu pertumbuhan rumput itu kerana ia memerlukan siraman air yang banyak.
“Uniknya rumput ini, ia bukan diambil dari benih, tapi kita ambil dari keratan akar. Ianya baru ditanam pada tiga hari lalu dan dalam tempoh ini rumput ini memang perlukan air yang banyak, jadi hujan ini sangat membantu.
“Cuma mungkin dalam tempoh 10 hari lagi ia perlukan cahaya matahari pula. Jadi kita doakan yang terbaik, mentari akan muncul dan bagi manfaat kepada Bermuda Tifgrand ini.
“Saya tanya syarikat yang menaiktaraf padang ini dan ia (musim tengkujuh) tidak ada memberi kesan kepada rumput ini. Jadi, selepas 10 hari saya akan tengok semula,” ujarnya.