Kakitangan cawangan Maybank di Kampung Baru, Pulau Pinang, berjaya menghalang seorang penjawat awam, Fatimah, 57, daripada kerugian RM150,000 akibat scam atau penipuan telefon yang didalangi individu yang menyamar sebagai wakil bank dan agensi penguatkuasaan.

Tindakan yang diambil tepat pada masanya berjaya melindungi wang hasil titik peluh Fatimah daripada dicuri oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Menerusi laporan Malay Mail, Maybank dalam pendedahannya menyatakan bahawa Fatimah, seorang pekerja kontrak kerajaan, telah menjadi sasaran scam yang mendakwa bahawa akaunnya terlibat dalam aktiviti penipuan.

Scammer yang menyamar sebagai wakil bank dan agensi kawal selia, memanipulasi Fatimah melalui beberapa siri panggilan telefon yang mengelirukan, menyebabkan dia percaya dananya kini berada dalam risiko.

Dalam panggilan empat jam, Fatimah diarah mengeluarkan RM150,000 daripada akaun simpanannya di cawangan Maybank Kampung Baru di Pulau Pinang.

“Di cawangan [Maybank], juruwang melakukan pemeriksaan biasa dan bertanya kepada saya tujuan pengeluaran. Scammer itu telah mengarahkan saya sebelum ini untuk berbohong dan menyatakan wang itu untuk tujuan pengubahsuaian rumah,” kata Fatimah dipetik.

Penolong pengurus cawangan itu, menyedari kemungkinan berlakunya sesuatu yang mencurigakan telah membimbing Fatimah melalui proses memfailkan laporan kes dan segera membekukan akaunnya untuk mengelak daripada sebarang kerugian.

Walaupun cubaan berterusan oleh scammer untuk mengganggu prosiding, penolong pengurus itu tetap dengan pendirian dalam melindungi kepentingan Fatimah.

Fatimah melahirkan rasa terima kasih kepada penolong pengurus atas dedikasinya, lebih-lebih lagi memandangkan kejadian itu berlaku di luar waktu kerja biasa.

Maybank memuji tindakan pantas kakitangannya dan menggesa orang ramai untuk terus berwaspada terhadap taktik penipuan.

Bank turut menekankan kepentingan mendapatkan sokongan daripada institusi kewangan jika mereka telah menjadi sasaran penipuan.

Selain itu, Maybank mendedahkan bahawa cawangannya secara kolektif telah menyelamatkan pelanggan daripada kerugian RM6.4 juta akibat pelbagai penipuan pada 2023.

Sumber