Dalam bola sepak moden, semakin ramai jurulatih gemar memasukkan pemain pada penghujung masa tambahan semata-mata untuk menghadapi penentuan sepakan penalti.

Secara teorinya, ia kelihatan seperti keputusan yang bijak. Pemain masih segar, mempunyai rekod penalti yang baik dan tidak keletihan selepas beraksi selama 120 minit.

Namun, data terbaru daripada Opta Analyst menunjukkan realitinya jauh berbeza.

Statistik Buktikan 'Penalty Sub' Sebenarnya Lebih Banyak Gagal Berbanding Berjaya

Menurut analisis mereka, lapan daripada 10 pemain terakhir yang dimasukkan selepas minit ke-115 di Piala Dunia atau Kejohanan Eropah (Euro) khusus untuk mengambil sepakan penalti akhirnya gagal menyempurnakan tugasan tersebut.

Kadar kejayaan mereka hanyalah sekitar 20 peratus. Dan 80% adalah mengecewakan.

Contoh terbaharu berlaku di Piala Dunia 2026 apabila Gustavo Alfaro memasukkan Fabian Balbuena pada minit ke-121 ketika Paraguay menentang Jerman.

Balbuena diberikan tanggungjawab mengambil penalti kelima, namun percubaannya berjaya diselamatkan Manuel Neuer.

Mujur Paraguay tetap mara selepas Jonathan Tah gagal menyempurnakan penalti Jerman sebelum Jose Canale menyempurnakan sepakan kemenangan.

Trend ini sebenarnya bukan sesuatu yang baharu.

Penyokong England pasti masih mengingati Jamie Carragher yang dimasukkan ketika suku akhir Piala Dunia 2006 sebelum gagal menyempurnakan penalti.

Dalam final Euro 2020 pula, Gareth Southgate membuat keputusan terkenal dengan memasukkan Marcus Rashford dan Jadon Sancho pada saat-saat akhir, namun kedua-duanya turut gagal menjaringkan gol dalam penentuan penalti menentang Itali.

Lebih menarik, statistik keseluruhan sejak Euro 1996 menunjukkan pemain yang memulakan perlawanan mempunyai kadar kejayaan penalti jauh lebih tinggi.

Mereka berjaya menyempurnakan 73 peratus daripada sepakan penalti dalam penentuan shootout, berbanding hanya 56 peratus bagi pemain yang dimasukkan ketika separuh masa kedua masa tambahan.

Penjelasan paling munasabah ialah tekanan psikologi. Walaupun kaki masih segar, pemain yang baru masuk belum benar-benar merasai rentak permainan, sentuhan bola dan intensiti perlawanan sebelum dipaksa memikul tanggungjawab paling besar dalam perlawanan.

Kesimpulannya, statistik membuktikan bahawa strategi memasukkan pemain semata-mata untuk mengambil penalti mungkin kelihatan logik di atas kertas, tetapi dalam situasi sebenar, tekanan mental sering mengatasi kelebihan fizik