Kehangatan saingan Piala ASEAN FIFA 2026 kini semakin terasa, namun dalam kalangan peminat bola sepak tanah air, tumpuan utama di media sosial khususnya platform Threads ketika ini bukanlah mengenai taktikal pasukan, sebaliknya isu hak siaran langsung yang masih menjadi tanda tanya.
Keresahan penyokong Harimau Malaya mula tercetus apabila senarai penyiar rasmi bagi kejohanan sulung anjuran FIFA itu tular di Threads.
Siaran Langsung Piala ASEAN FIFA 2026 Di Malaysia Jadi Tanda Tanya Netizen
Menerusi perkongsian seorang pengguna Threads, beliau mempertanyakan mengapa negara lain seperti Australia, Indonesia, Bangladesh, Laos dan Hong Kong sudah mengesahkan stesen penyiaran masing-masing, namun nama Malaysia langsung tidak kelihatan dalam senarai tersebut.
“Malaysia mana? FIFA ASEAN CUP 2026 kot! Negara lain dah ada siaran rasmi, tapi Malaysia langsung tak nampak dalam senarai. Kita ni peminat bola sepak nak tengok pasukan negara sendiri juga,” luahnya di Threads.
Persoalan yang sama turut diutarakan oleh penyokong lain yang mempersoalkan sama ada stesen penyiar tempatan bakal mengambil hak siaran tersebut.
Malah, beliau turut bimbang peminat terpaksa mencari alternatif siaran tidak rasmi sekiranya tiada stesen TV tempatan yang menayangkannya.
Tidak kurang juga ada pengguna yang terus membuat hantaran merayu dan tag akaun rasmi penyiaran awam seperti RTM mengambil hak siaran berkenaan demi peminat tempatan.
Isu ini menjadi semakin hangat apabila seorang lagi membangkitkan dakwaan mengenai nilai hak siaran kejohanan tersebut yang dikatakan mencecah RM12 juta.
Angka yang didakwa tinggi itu dipercayai menjadi punca utama mengapa stesen TV tempatan masih membisu dan belum membuat sebarang pengumuman rasmi.
Situasi ini mencetuskan dilema dalam kalangan peminat tempatan. Di satu sisi, kehadiran tonggak baharu seperti Bergson da Silva, Manuel Hidalgo dan Bradd Tapp dalam skuad kebangsaan bagi saingan Piala ASEAN FIFA Divisyen 1 menentang Indonesia, Singapura dan Bangladesh amat ditunggu-tunggu.
Namun di satu sisi lain, akses untuk menyaksikan perlawanan secara sah di bumi Malaysia masih berdepan jalan buntu.
Biar apa pun kekangan atau isu rundingan di sebalik tabir, peminat bola sepak tanah air di Threads kini hanya mengharapkan agar ada sinar di penghujung jalan sebelum sepak mula dijalankan, supaya sorakan buat Harimau Malaya di Piala ASEAN FIFA 2026 tetap dapat bergema dari kaca TV rumah masing-masing.