Kuala Lumpur (KL) Thunder meneruskan momentum cemerlang dalam saingan Sepak Takraw League (STL) 2024 apabila meraih kejuaraan Grand Prix (GP) buat kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan Selangor Pistons di Stadium Indera Mulia, Ipoh sebentar tadi.
Membariskan Zarif Marican Ibrahim Marican sebagai tekong, Azlan Alias (apit kanan) dan Amirul Zazwan Amir (apit kiri), KL Thunder nyata sukar digugat walaupun Selangor Pistons cuba untuk memberikan saingan.
Baca Juga:
- STL 2024 GP Terengganu: KL Thunder Terlalu Unggul, Raih Kejuaraan Kedua
- Peminat Sepak Takraw Thailand Puji Penganjuran STL
- Atasi Perak Bison, KL Thunder Ungguli STL 2024 GP Selangor
Namun, pengalaman luas dimiliki trio KL Thunder itu jelas menyukarkan tugasan Ahmad Aizat Mohd Nor Azmi dan Zuhri Mohd Zin selaku tekong, Muhammad Ariff Daniel Mohammad Aripin (apit kanan) dan apit kiri, Arif Mohd Badri.
Kesempatan itu digunakan sepenuhnya KL Thunder untuk memastikan kejuaraan menjadi milik mereka dengan kemenangan 15-10, 15-11.
Kejayaan tersebut mengukuhkan lagi kedudukan KL Thunder di tangga teratas bagi carta keseluruhan dengan mengumpul 96 mata, jauh meninggalkan Perak Bison dan Selangor Pistons yang terikat meraih 53 mata.
Sementara itu, tempat ketiga menjadi pengubat duka Perak Bison untuk dihadiahkan kepada para penyokong setia mereka selepas berjaya menundukkan ATM Guardians 15-12, 15-11.
Penganjuran STL 2024 bagi GP Perak jelas mencuri tumpuan apabila para penyokong sentiasa hadir bagi membanjiri Stadium Indera Mulia.
Kehangatan saingan sepak takraw paling berprestij tanah air ini kembali berterusan apabila SPICE Arena, bakal menjadi gelanggang GP Pulau Pinang bermula 16 Oktober nanti.