Pasukan pilihan, Kuala Lumpur (KL) Thunder tidak terlalu berdepan masalah untuk mara ke final Emas Anuar Sepak Takraw League (STL) 2024 bagi Grand Prix (GP) Selangor yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam.
Membariskan Syahir Rosdi selaku tekong, Azlan Alias (apit kanan) dan Amirul Zazwan Amir (apit kiri), KL Thunder jelas berada di kelas tersendiri untuk menundukkan Selangor Pistons yang diwakili Ahmad Aizat Mohd Nor Azmi dan Zuhri Mohd Zin sebagai tekong, Muhammad Ariff Daniel Mohammad Aripin (apit kanan) dan Muhammad Arid Mohd Badri (apit kiri) dengan kemenangan 2-0.
Baca Juga:
- STL 2024 GP Selangor: KL Thunder, PDRM Defenders Ke Separuh Akhir
- STL 2024 GP Selangor: KL Thunder Tak Berdepan Masalah Kalahkan Kelantan Warriors
- Ini Yang Anda Perlu Tahu Tentang Format Baharu Liga Premier STL 2024
Kewibawaan trio berpengalaman KL Thunder itu bagaimanapun tercabar pada peringkat awal permainan apabila Selangor Pistons pada satu ketika berjaya mendahului 7-2.
Namun, pengalaman luas dimiliki Syahir, Azlan dan Amirul jelas menjadi senjata utama buat mereka untuk menyerap tekanan bagi meraih satu demi satu mata bagi mengikat kembali kedudukan 7-7.

Walaupun kembali ketinggalan satu mata 7-8, barisan pemain KL Thunder selepas itu tidak menoleh ke belakang lagi untuk meninggalkan lawan dan memastikan set pertama menjadi milik mereka dengan kemenangan 15-10.
Set kedua turut memperlihatkan KL Thunder semakin bersemangat dengan servis menarik dijelmakan oleh Syahir Rosdi serta libasan mantap Azlan Alias hasil umpanan kemas Amirul Zazwan.
Keadaan itu membolehkan KL Thunder meraih kemenangan selesa 15-8 untuk melangkah ke perlawanan akhir STL 2024 GP Selangor yang dijadualkan berlangsung pada 9.30 malam ini.