Saingan Emas Anuar Sepak Takraw League (STL) 2024 bakal memasuki Grand Prix (GP) ketiga dimana Perak menjadi tuan rumah pada 9 hingga 13 Oktober nanti.
Seperti dilaporkan sebelum ini, Kuala Lumpur (KL) Thunder menyerap dengan cukup baik dan mempamerkan aksi kemas untuk menguasai saingan di GP Selangor dan Terengganu.
Baca Juga:
- STL 2024 GP Terengganu: KL Thunder Terlalu Unggul, Raih Kejuaraan Kedua
- Atasi Perak Bison, KL Thunder Ungguli STL 2024 GP Selangor
- Ini Yang Anda Perlu Tahu Tentang Format Baharu Liga Premier STL 2024
KL Thunder yang dibarisi pemain berpengalaman tidak terlalu berdepan masalah untuk menewaskan Perak Bison ketika di Shah Alam manakala Terengganu Turtles menjadi mangsa kedua pada Sabtu lalu.
Keadaan yang meletakkan KL Thunder cukup gah di tangga teratas keseluruhan dengan mengumpul 64 mata. Jauh meninggalkan PDRM Defenders yang mengutip 35 mata manakala Perak Bison dan Terengganu Turtles masing-masing dengan 34 mata.
Melihatkan kepada senarai kedudukan terkini, hanya tiga pasukan masih belum mengumpul sebarang mata ekoran kekalahan dalam keempat-empat perlawanan peringkat kumpulan bagi dua saingan awal itu.
Pasukan yang dimaksudkan ialah Johor Tigris, Bomba Fighters dan KPT-MASUK Knights. Secara kebetulan, ketiga-tiga pasukan telah diundi berada dalam kumpulan sama pada GP Perak nanti.
Ini bermakna rentetan kekalahan itu bakal berakhir pada saingan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Indera Mulia, Ipoh tersebut.
Berikut merupakan kedudukan terkini STL 2024 selepas berakhir 2 GP sebelum ini:
1) KL Thunder – 64 mata
2) PDRM Defenders – 35 mata
3) Perak Bison – 34 mata
4) Terengganu Turtles – 34 mata
5) Selangor Pistons – 29 mata
6) Penang Black Panthers – 26 mata
7) Kelantan Warriors – 20 mata
8) Negeri Sembilan Antlers – 13 mata
9) ATM Guardians – 10 mata
10) Bomba Fighters – 0
11) Johor Tigris – 0
12) KPT-MASUK Knights – 0