Johor Tigris meneruskan rentak cemerlang dalam saingan kumpulan A Sepaktakraw League (STL) 2025 bagi Grand Prix (GP) Negeri Sembilan setelah menundukkan ATM Guardians 2-1 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Arena 9, Nilai sebentar tadi.

Kejayaan itu sekali gus membawa Johor Tigris ke separuh akhir hasil dua kemenangan berturut-turut dilakarkan dimana semalam mereka menundukkan Selangor 2-0.

Baca Juga:

Johor Tigris

Dibarisi tekong berpengalaman iaitu Muhammad Hairul Hazizi Hadzir sambil dibantu Teerapat Deechaoren, Mohd Syahmi Syazwan (apit kanan) dan Farhan Adam selaku apit kiri, Johor Tigris menampilkan kebangkitan hebat pada set kedua dan ketiga.

Mereka bermula baik mendahului lawan dengan kedudukan 3-0 tetapi ATM Guardians yang dibarisi Adam Aiman Zainol, Nazmi Najib (tekong), Afifuddin Razali selaku apit kanan dan Muhamad Umar Mohamad (apit kiri) tampil lebih baik untuk memberikan saingan.

Johor Tigris

Johor Tigris Tersentak Di Set Pertama

Selepas kedudukan terikat 5-5, ATM Guardians cukup garang terutamanya menerusi servis Adam Aiman dan libasan padu Afifuddin untuk menang set pertama 15-10.

Tersentak dengan kekalahan tersebut, skuad yang dibimbing Najib Iman memperbaiki permainan dan lebih menguasai permainan untuk menang 15-10 bagi mengheret aksi ke set penentuan.

Momentum cemerlang itu diteruskan Johor yang tidak lagi memandang ke belakang dengan mengesahkan kemaraan ke separuh akhir hasil kemenangan 15-8.