PDRM Defenders menggagalkan peluang Penang Black Panthers untuk mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Sepaktakraw League (STL) 2025 bagi Grand Prix (GP) Negeri Sembilan selepas menang 2-1 pada aksi kumpulan yang berlangsung di Stadium Arena 9, Nilai sebentar tadi.

Kemenangan itu penting buat PDRM Defenders dalam membuka peluang luas buat mereka untuk sekali lagi melepasi peringkat kumpulan dimana skuad tersebut mara ke final pada GP Terengganu.

Baca Juga:

Membariskan Worapat Kaewtawatwiset selaku tekong dan pasangan kembar Shahalril Aiman (apit kanan) dan Shahalril Aimin (apit kiri), PDRM bagaimanapun tersentak dengan saingan sengit diberikan Penang Black Panthers pada set pertama.

Ia dibuktikan dengan tekanan hebat diberikan  Muhammad Imran Fazli (tekong), Rusdi (apit kanan) dan apit kiri, Danial Iman Hasbullah yang berjaya mencuri set pertama dengan kemenangan 17-16.

PDRM Defenders

Kebangkitan Hebat PDRM Defenders

Enggan melihat regu lawan terus mendominasi saingan, PDRM Defenders memperbaiki aksi dengan cukup baik untuk mudah memenangi set kedua dengan keputusan 15-6 bagi aksi diheret ke set penentuan.

Corak permainan menarik turut ditampilkan kedua-dua pasukan pada set ketiga dengan Penang Black Panthers pada satu ketika mendahului 12-10.

Namun, barisan pemain PDRM Defenders menyerap tekanan dengan baik untuk memastikan mereka keluar sebagai pemenang hasil kemenangan 15-13.

PDRM akan berdepan dengan Kelantan Warriors pada 5.00 petang esok dimana kemenangan akan membawa mereka ke separuh akhir.