Negeri Sembilan Antlers mempamerkan aksi cukup bertenaga untuk menundukkan pasukan pilihan juara, Melaka Titans 2-0 pada aksi kumpulan C Sepaktakraw League (STL) 2025 bagi Grand Prix (GP) Negeri Sembilan yang berlangsung di Stadium Arena 9, Nilai sebentar tadi.

Kemenangan itu turut menebus kekalahan Negeri Sembilan Antlers ke atas lawan sama pada aksi kumpulan GP Terengganu tempoh hari.

Baca Juga:

Beraksi di laman sendiri jelas menyemarakkan api perjuangan anak-anak buah Mohd Shahir Nasrudin itu untuk mengejutkan juara GP Terengganu tersebut.

Negeri Sembilan
Haziq Hairul Nizam

Malah, reputasi hebat dimiliki Melaka Titans dengan kehadiran Syahir Rosdi (tekong), Azlan Alias (apit kanan) dan apit kiri, Zaim Razali jelas tidak menggentarkan regu tuan rumah yang dibarisi Haziq Hairul Nizam (tekong), Hafizul Hayazi Adnan (apit kanan) serta Zulefendi Sumari (apit kiri).

Malam Cemerlang Negeri Sembilan Antlers

Perlawanan yang menyaksikan dua tekong terbaik negara beraksi itu memperlihatkan banyak mata diperolehi menerusi servis Syahir dan Haziq.

Variasi servis dijelmakan oleh kedua-dua tekong cukup menarik dan nyata berjaya menjerat lawan masing-masing.

Seperti dijangka dengan reputasi hebat dimiliki kedua-dua pasukan, para penyokong telah disajikan dengan aksi menarik dan cukup sengit.

Negeri Sembilan
Hafizul Hayazi Adnan

Ia jelas dibuktikan dengan aksi kejar-mengejar mata yang akhirnya Negeri Sembilan Antlers memenangi set pertama dengan 17-15.

Set kedua pula menyaksikan Syahir berada dalam keadaan tertekan apabila begitu banyak servis dilakukannya tersangkut di jaring manakala Haziq pula semakin tajam dalam mendapatkan mata.

Keadaan itu membolehkan pasukan tuan rumah mengesahkan kemenangan menjadi milik mereka dengan lebih mudah 15-9.