Pendahulu keseluruhan STL 2025, Kuala Lumpur Thunder sekali lagi terpaksa berdepan tugas sukar apabila telah diundi satu kumpulan bersama Melaka Titans bagi GP Pulau Pinang.
Pertembungan dua pasukan itu pastinya menarik untuk disaksikan kerana Melaka Titans hanya ketinggalan 16 mata dibelakang Kuala Lumpur Thunder yang mengumpul 112 mata.
Baca Juga:
- STL 2025: Kedudukan Terkini Selepas Berakhirnya 5 Pusingan GP

- STL 2025: Perak Bison Juara Di Laman Sendiri Atasi Kelantan Warriors

- STL 2025: Senarai Pasukan Ke Separuh Akhir GP Perak

Satu lagi pasukan yang bakal mengisi slot dalam kumpulan C itu selain Kuala Lumpur Thunder dan Melaka Titans ialah Bomba Fighters.

Bomba Fighters kini tampil dengan semangat baharu selepas berjaya mengumpul 12 mata setelah menamatkan GP Perak di kedudukan kelapan.
Kumpulan A pula bakal menyaksikan pertemuan antara Negeri Sembilan Antlers, ATM Guardians dan Terengganu Turtles.
Negeri Sembilan Antlers yang pulang dari Ipoh tanpa sebarang mata juga bakal hadir dengan garang apabila hanya ketinggalan 12 mata dibelakang Kuala Lumpur Thunder.
Pertembungan ulangan final GP Perak bakal dapat disaksikan di Kompleks Sukan Balik Pulau apabila juara, Perak Bison telah diundi dalam kumpulan B bersama Kelantan Warriors dan Johor Tigris.

Perak Bison juga turut berpeluang untuk bergelar juara keseluruhan STL 2025 apabila mengumpul 108 mata.
Sementara itu, tuan rumah, Penang Black Panthers akan menghadapi cabaran Selangor Pistons dan PDRM Defenders.
Saingan GP Pulau Pinang yang bakal berlangsung pada 27 hingga 31 Ogos nanti, menarik untuk disaksikan kerana ia merupakan medan terakhir untuk melihat pasukan mana bakal dinobatkan selaku juara keseluruhan.
Selain itu, senarai lima pasukan teratas yang akan meneruskan kemaraan ke STL Champions Cup 2025 juga akan dimuktamadkan di sini.
Berikut merupakan senarai penuh undian kumpulan bagi saingan Liga Premier STL 2025 bagi GP Pulau Pinang:
STL 2025 GP Pulau Pinang
Kumpulan A – Negeri Sembilan Antlers, ATM Guardians & Terengganu Turtles
Kumpulan B – Perak Bison, Kelantan Warriors & Johor Tigris
Kumpulan C – Kuala Lumpur Thunder, Melaka Titans & Bomba Fighters
Kumpulan D – Selangor Pistons, Penang Black Panthers & PDRM Defenders